Khamis, 1 Januari 2015

Polis diminta siasat komen 'hakim' kes Zaidi

MALAYSIAKINI



 
 
 
Polis digesa menyiasat komen Facebook yang didakwa dibuat seorang panel mahkamah yang mendengar kes Mejar Zaidi Ahmad.

Gesaan itu dibuat melalui laporan polis gabungan proreformasi pilihan raya, BERSIH, di Petaling Jaya hari ini.

“Demi keadilan kepada semua, kami mohon pihak polis segera memulakan siasatan terhadap komen tersebut," menurut laporan polis timbalan pengerusi BERSIH Sarahun Hoda Abdul Hassan.

Katanya, siasatan harus dibuat kerana jika ia benar bersifat prejudis dan subjudis terhadap perbicaraan.

Peguam Zaidi, Hanipa Maidin pada 5 November mendakwa seorang anggota panel mahkamah yang mendengar kes Zaidi meninggalkan komen pada berita disiarkan Malaysiakini menerusi Facebook miliknya.

Hanipa mendakwa komen itu dibuat pada berita "Peguam: Kesalahan Mejar Zaidi hanya kerani berani" bertarikh 20 Oktober 2014.

Hanipa mendakwa komen itu (bawah) dibuat pemilik akaun bernama "Saadon T'son" yang menggesa Zaidi agar "duduk di kampung sahaja jika tak nak menjadi tentera".

Hanipa memohon agar mahkamah yang mendengar kes itu dibubarkan kerana komen itu menunjukkan hakim berat sebelah.

Zaidi, anggota tentera udara, dihadapkan ke ke mahkamah tentera berhubung kenyataan mengenai kemelut penggunaan dakwat kekal semasa pilihan raya umum lepas.

Mahkamah tentera menetapkan 7 Januari ini untuk menyampaikan keputusannya .

Zaidi sebelum itu gagal dalam usaha mendapatkan pengisytiharan bahawa perbicaraan terhadapnya tersilap bicara.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.