MALAYSIAKINI
Menteri Besar Selangor Azmin Ali mempersoal sama ada peserta
demonstrasi projek Datum Jelatek di Taman Keramat benar-benar penduduk
tempatan.
Beliau menjawab soalan pemberita yang mahu mendapat maklum balas beliau berhubung bantahan dalam demonstrasi projek itu semalam.
"Kamu pasti mereka penduduk tempatan?" soal Azmin ketika ditanya perkara itu.
Seorang pemberita kemudian menjawab beliau pasti kerana berada di tempat kejadian ketika acara itu berlangsung.
Azmin kemudian bertanya lagi sama ada pemberita itu boleh mengesahkannya.
"Sebab wakil penduduk Encik Salleh..." jawab wartawan.
Bagaimanapun Azmin memintasnya dengan berkata:
"Selain Encik Salleh, siapa lagi yang berada dalam demonstrasi itu.”
Beliau sebelum itu ditanya berhubung tuntutan peserta perhimpunan itu
untuk berjumpa dengan Azmin, yang mana beliau membangkitkan perkara
sama.
Semalam dilaporkan hampir 1,000 orang termasuk penduduk di Taman Keramat
berdemonstrasi mendesak projek pembangunan Datum Jelatek di taman itu
dihentikan.
Salleh, pengerusi badan bertindak Datum Jelatek mendakwa projek hartanah
itu ditawarkan kepada warga asing China, Singapura dan Indonesia,
seperti dilaporkan sebuah majalah perniagaan pada 2012.
Mengulas lanjut berhubung isu tersebut, Azmin berkata kerajaan negeri
mengambil kira pandangan dan bantahan rakyat khususnya di kawasan
pembangunan itu melalui pendengaran awam beberapa kali dan menganggap
proses itu sebagai perkara biasa.
"Tetapi ia (pandangan dan semakan) juga diambil kira untuk membuat
sebarang semakan atau pindaan dalam bentuk pembangunan di kawasan
tersebut. Itu proses biasa.
“Rakyat boleh kemukakan bantahan, dalam mana-mana pembangunan, kita akan teliti bantahan itu," katanya.
Ditanya sama ada alasan bahawa kawasan itu akan dimiliki oleh orang luar
termasuk kaum selain Melayu, Azmin berkata beliau akan meneliti laporan
terperinci daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terlebih
dahulu.
'Tak penting tak menjurus perkauman'
Bahkan, setakat ini beliau yang juga timbalan presiden PKR tidak pasti
sama ada bantahan itu benar-benar daripada penduduk di kawasan itu.
"Yang penting pembangunan itu, mestilah pembangunan yang tidak menjurus kepada perkauman.
“Walaupun kita ada kuota dalam sesuatu pembangunan, janganlah ia
dijadikan sebagai sentimen untuk menjadi penghalang pembangunan di
Selangor.
"PKNS akan teliti bantahan itu. Kita benarkan bantahan sesuatu pembangunan, bahkan kita ada townhall meeting, kita buat engagement dengan pihak berkepentingan dalam semua pembangunan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.