MALAYSIAKINI
Misteri kehilangan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 masih belum
terungkai dengan tiada sebarang petunjuk diperoleh pasukan pencari yang
akan memperluaskan kawasan pencarian
hari ini.
Pengurus Besar Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Trikora Harjo
berkata operasi mencari diketuai Indonesia bersama-sama Singapura dan
Malaysia di timur Lautan Jawa termasuk berhampiran Pulau Belitung,
dihentikan pada lewat Isnin malam.
"Sehingga kini, saya dimaklumkan, 24 kapal laut dan beberapa pesawat
udara tentera milik tiga negara ini telah menyertai misi mencari ini,"
katanya kepada pemberita pada lewat malam tadi.
Beliau berkata sehingga kini, tiada sebarang maklumat atau petunjuk
ditemui selain turut menafikan ada minyak, objek mahu pun Alat Pemancar
Lokasi Kecemasan (ELT) diperoleh dan ditemui pasukan pencari.
Sementara itu, Presiden Direktur PT AirAsia Indonesia, Sunu Widiatmoko
yang turut menghadiri sidang akhbar itu berkata kemudahan bagi waris
pesawat itu di lapangan terbang akan ditambah untuk keselesaan mereka
ketika menunggu perkembangan terkini.
"Ini termasuk televisyen dan kemudahan istirehat supaya keluarga korban (mangsa) lebih selesa di sini.
"Mereka juga bersetuju sebulat suara untuk terus menetap di hotel-hotel
berdekatan lapangan terbang untuk kemudahan mereka," katanya.
Sementara itu, tinjauan Bernama di Pusat Krisis Terminal 2 lapangan
terbang mendapati pelbagai emosi dapat dilihat daripada riak wajah
anggota keluarga dan waris pesawat malang itu.
Seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Abang Solo
berkata keluarganya tidak mahu berpindah atau berjauhan dari lapangan
terbang ini kerana seolah-olah berasa dekat dengan anggota keluarganya
yang hilang itu.
Menurutnya, inilah lokasi terakhir mereka meluangkan masa bersama-sama sebelum anggota terbabit menaiki pesawat tersebut.
Pesawat Airbus 320-200 bersama 162 orang di dalamnya terdiri daripada
149 penumpang Indonesia, Korea Selatan (3), Singapura (1), Malaysia (1),
United Kingdom (1), dan kru Indonesia (6) serta Perancis (1), yang
dijadual tiba pada jam 8.30 pagi waktu tempatan dari Surabaya, terputus
hubungan dengan pusat kawalan trafik udara Jakarta pada 7.24 pagi waktu
tempatan pada Ahad.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.