MALAYSIAKINI
Sebanyak 15 pusat pemindahan banjir di Gua Musang terputus bekalan
makanan selain elektrik dan air sejak enam hari lepas kerana bantuan
tidak dapat disalurkan, kata Pengerusi Biro Kebajikan Umno Datuk Seri
Abdul Azeez Abdul Rahim.
Beliau berkata bantuan sukar disalurkan berikutan semua jalan masuk ke
daerah berkenaan dinaiki air menyebabkan ia terputus hubungan manakala
helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan polis juga tidak
dapat pergi ke sini berikutan kedudukan awan terlalu rendah.
"Jadi bantuan tidak dapat disalurkan dan bukannya sebab kita tidak mahu
membantu," katanya kepada pemberita selepas misi menghantar bantuan Biro
Kebajikan Umno Malaysia ke Parlimen Gua Musang semalam.
Abdul Azeez yang sebelum itu berlepas dari Pangkalan TUDM di Kuantan,
turut membawa bersama tiga tan bekalan makanan untuk mangsa banjir di
daerah berkenaan.
Katanya sebaik sahaja jalan Kuala Lipis melalui Merapoh ke Gua Musang
dibaiki malam ini, dua buah lori kontena akan membawa pelbagai bekalan
keperluan dan makanan kepada mangsa banjir di daerah itu.
Beliau berkata barangan tersebut adalah hasil sumbangan Biro Kebajikan Umno Malaysia serta badan bukan kerajaan (NGO).
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.