Selasa, 30 Disember 2014

Penyelamat temui tiga, bukan 40 mayat

MALAYSIAKINI



Pesawat AirAsia QZ8501 yang membawa 155 penumpang dan tujuh anak kapal, hilang Ahad lalu.
 
 
 
Pesawat Airbus 320-200 itu berlepas dari Surabaya, Indonesia pada jam 5.20 pagi waktu tempatan (6.20 pagi waktu Malaysia) dan dijangka tiba di Singapura dua jam kemudian, tetapi ia  terputus hubungan dengan kawalan trafik udara.
 
Pihak berkuasa Indonesia sedang melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR).
 
Malaysiakini menyiarkan secara langsung maklumat kemas kini mengenainya yang masuk hari ketiga.
 


LAPORAN LANGSUNG HARI KETIGA

Perkembangan terkini

Tiga mayat, bukan 40 telah ditemui

8.50pm: Lewat petang ini ketua agensi mencari dan menyelamat Indonesia menafikan laporan media yang menyebut 40 mayat telah ditemui setakat ini.

Bercakap pada sidang media, Bambang Soelistyo berkata hanya dua mayat wanita dan satu mayat lelaki ditemui pasukan penyelamat.
 
Serpihan pesawat disahkan QZ8501

7.49pm: AirAsia Indonesia mengumumkan bahawa Agensi Mencari dan Menyelamat Republik Indonesia mengesahkan serpihan yang ditemui hari ini adalah daripada penerbangan QZ8501.

"Mereka mengesahkan bahawa serpihan yang ditemui awal hari ini adalah daripada QZ8501 - pesawat yang hilang hubungan dengan menara kawalan udara pada pagi 28 Disember lalu.

"Serpihan pesawat itu ditemui di Selat Karimata kira-kira 110 batu nautika barat daya Pangkalan Bun," kata AirAsia dalam satu kenyataan.

Kargo utama penerbangan QZ8501 dikesan

6.39pm: Satu pesawat Tentera Udara Indonesia berjaya mengesan kargo utama penerbangan QZ8501 AirAsia, lapor detik.com

Juruterbang bersama pesawat Hercules yang meninjau kawasan serpihan pesawat berkata kargo itu sebahagian besarnya kelihatan kekal utuh.

Operasi menyelamat dalam tempoh dua hari

6.25pm: Tentera Laut Indonesia bercadang untuk mencari semua mangsa dari pesawat QZ8501 menjelang berakhirnya hari esok, lapor detik.com.

Sehingga kini, lebih daripada 40 mayat ditemui tetapi pasukan mencari dan menyelamat berhadapan kesukaran apabila kehilangan cahaya matahari menjelang malam.

Pegawai operasi sudah menyediakan beg-beg mayat di Pangkalan Bun, pengkalan tentera laut terdekat dengan kawasan nahas.

115 orang penumpang dan anak kapal menaiki pesawat tersebut.

5.46pm: Stesen televisyen Indonesia TVOne memohon maaf kerana menyiarkan visual mayat terapung yang ditemui di sekitar kawasan serpihan pesawat AirAsia QZ8501.

Penyiaran visual tersebut mengundang kritikan hebat terhadap stesen televisyen itu.

Time.com melaporkan anggota keluarga yang berkampung di lapangan terbang Surabaya meraung histeria apabila menonton visual tersebut.

Berpuluh mayat berjaya ditemui

5.38pm: Kapal perang Indonesia Bung Tomo yang berjaya mendapat mayat pertama hari ini, sudah mengumpul sehingga 40 mayat setakat ini.

Seorang jurucakap tentera laut berkata lebih banyak mayat sedang diperolehi dari laut, lapor Channel News Asia.

Sementara itu, detik.com berkata sebahagian mayat yang ditemui berada dalam keadaan tangan mereka berpegangan di antara satu sama lain.

4.51pm: Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Tony Fernandes mengumumkan yang beliau bergegas ke Surabaya, Indonesia selepas sumber rasmi mengumumkan serpihan pesawat AirAsia QZ8501 ditemui.

"Hati saya dilanda kesedihan buat semua keluarga yang terlibat dalam QZ8501.

"Bagi pihak AirAsia, takziah buat semua. Perkataan tidak dapat menggambarkan rasa kesal saya," katanya menerusi akaun Twitter.

Mayat pertama nahas QZ8501 ditemui

4.33pm: Pihak Tentera Laut Indonesian berjaya memperolehi mayat pertama dari kawasan serpihan pesawat AirAsia QZ8501.

Kapal Indonesia KRI Bung Tomo pula berjaya memperolehi tiga daripada enam mayat di kawasan itu, lapor detik.com.

"Lebih daripada satu mayat telah ditemui..proses mencari sedang berlangsung," ketua agensi mencari dan menyelamat, Bambang Soelistyo dipetik sebagai berkata.

4.10pm: Seorang pembantu juruterbang Tentera Udara Indonesia beliau dia ternampak mayat-mayat terapung selepas Jakarta mengumumkan ia telah menemui serpihan pesawat AirAsia QZ8501, laporan Kompas.
 
"Kami sangka penumpang masih hidup dan melambai pada kami untuk bantuan. Tetapi apabila kita mendekatinya, mereka sudah meninggal," kata Tri Wibowo yang menaiki pesawat Hercules C130.
 
Sementara itu, Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat, Bambang Soelistyo berkata agak pasti serpihan itu dari pesawat yang hilang, lapor Reuters.
 
Katanya, beliau 95 peratus yakin bahawa serpihan itu disyaki dari pesawat berkenaan.
 
3.29pm: Beberapa laporan media Indonesia mengatakan bahawa Jakarta telah mengesahkan bahawa serpihan pesawat AirAsia QZ8501 telah ditemui.
 
Pemangku ketua pengarah pengangkutan udara, Kementerian Pengangkutan Indonesia, Djoko Murjatmodjo berkata proses memperolehinya kini akan dimulakan di kawasan di mana serpihan yang telah dijumpai.
 
"Telah disahkan bahawa ia adalah serpihan dari sebuah pesawat yang mempunyai warna merah dan putih," katanya, menurut Jakarta Post.

3.14pm: Pasukan Mencari dan Menyelamat menemui lebih banyak objek dalam zon carian.
 
Menurut Reuters, tentera udara Indonesia ternampak apa yang kelihatan sebagai jaket, bagasi, serpihan dan ap yang dipercayai mayat, di Laut Jawa, di luar pantai barat Kalimantan.
 
Bagaimanapun, CNN melaporkan bahawa pegawai bimbang dengan arus yang boleh menyebabkan objek-objek itu tersebar sebelum kapal tiba untuk pengesahan secara dekat.
 
2.43pm: Serpihan merah dan putih yang dilihat dekat Kalimantan di laut Jawa "mungkin" dari pesawat AirAsia QZ8501, lapor Reuters yang memetik seorang pegawai Indonesia sebagai berkata.
 
"Kami sedang memeriksa sama ada ia serpihan dari pesawat itu. Ia mungkin dari badan pesawat," kata Djoko Murjatmodjo, yang bertindak ketua pengarah pengangkutan udara Kementerian Pengangkutan Indonesia.
 
Menurutnya, berdasarkan saiz dan warna serpihan itu, ia mungkin sebahagian daripada jet yang hilang.
 
Objek 'seperti sosok manusia' dilihat
 
2.37pm: Pasukan SAR melaporkan satu objek "yang kelihatan seperti susuk manusia" dilihat di selat Karimata berhampiran Kalimantan Barat.
 
Objek dilihat dari pesawat A319 Hercules, laporan detik.com.
 
2.00pm: Salah seorang komander operasi SAR, Dwi Putranto, berkata terdapat 10 objek besar dan objek-objek kecil yang lain.
 
"Dikatakan terdapat satu objek kuning panjang, yang kelihatan seperti sebuah tangki. Terdapat objek jelas berkilat putih. Jika ia telah lama di air, warna akan pudar, tetapi ini (objek) sangat jelas," kata Dwi, yang dipetik oleh detik.com.

1.45pm: Agensi berita AFP dalam berita ringkas melaporkan objek yang menyerupai gelongsor kecemasan kapal terbang dan pintu pesawat kelihatan.

1.30pm: Satu serpihan selebar kira-kira dua meter dengan sebahagiannya berwarna merah dan kuning, serta merah dan hitam dikesan di perairan Belinyu, Bangka berhampiran kawasan pencarian.

Helikopter kini sedang menuju ke lokasi serpihan itu dilihat, lapor detik.com dan kompas.com.

12.49pm: Operasi mencari dan menyelamat menerima laporan tentang kebakaran di sebuah pulau yang terletak dalam kawasan pencarian pesawat AirAsia QZ8501.

Menurut CNN dan CBS, dua pesawat sudah dihantar untuk menyiasat jika api tersebut mempunyai hubungkait dengan pesawat yang hilang.

11.30am: AirAsia belum sempat mengubah suai pesawat yang hilang pada hari Ahad lalu walaupun ia sedang menaiktaraf rangkaian pesawat jarak dekatnya untuk menjadikan ia lebih mudah dikesan, lapor The Wall Street Journal.

Laporan sama turut menyatakan yang syarikat penerbangan murah itu adalah antara yang terawal menggunakan teknologi pengesan tersebut.

9.54am: Kapal pemusnah AS, The USS Sampson, dijangka
tiba hari ini untuk membantu gerakan mencari pesawat AirAsia QZ8501 yang hilang.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan dari Yokosuka, Jepun, Pusat Pemerintah AS telah mengarahkan Sampson ke "kawasan carian umum" ekoran permintaan dari kerajaan Indonesia.

"Angkatan Laut Amerika Syarikat sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan Indonesia untuk menyediakan kemampuan tambahan carian di permukaan atau udara untuk membantu usaha pencarian mereka," kata tentera AS.

Isnin lalu, kerajaan Indonesia menghantar nota diplomatik kepada kedutaan AS di Jakarta untuk meminta bantuan, kata Jabatan Negara Amerika Syarikat.

The Sampson adalah sebahagian daripada Armada Ketujuh AS, di bawah Pusat Pemerintah Pasifik AS, dan merupakan sebahagian daripada kerahan bebas ke Pasifik Barat.

9.15am: Operasi carian dan menyelamat (SAR) kini telah diperincikan kepada 13 zon. Pihak berkuasa Indonesia berkata semua kawasan sedang dipantau, termasuk di daratan, lapor detik.com.

9am: Datuk Abdul Aziz Jaafar berkata kapal Tentera Laut KD Lekir telah memasuki zon carian.

7.45am:  Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Datuk Abdul Aziz Jaafar, dalam tweet, berkata kawasan carian telah diperluas dan disemak semula.

6.45am: Misteri kehilangan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 masih belum terungkai dengan tiada sebarang petunjuk diperoleh pasukan pencari yang akan memperluaskan kawasan pencarian
hari ini.
  
Pengurus Besar Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Trikora Harjo berkata operasi mencari diketuai Indonesia bersama-sama Singapura dan Malaysia di timur Lautan Jawa termasuk berhampiran Pulau Belitung, dihentikan pada lewat Isnin malam.
  
"Sehingga kini, saya dimaklumkan, 24 kapal laut dan beberapa pesawat udara tentera milik tiga negara ini telah menyertai misi mencari ini," katanya  kepada pemberita pada lewat malam tadi.

Beliau berkata sehingga kini, tiada sebarang maklumat atau petunjuk ditemui selain turut menafikan ada minyak, objek mahu pun Alat Pemancar Lokasi Kecemasan (ELT) diperoleh dan ditemui pasukan pencari.
  
Sementara itu, Presiden Direktur PT AirAsia Indonesia, Sunu Widiatmoko yang turut menghadiri sidang akhbar itu berkata kemudahan bagi waris pesawat itu di lapangan terbang akan ditambah untuk keselesaan mereka ketika menunggu perkembangan terkini.
  
"Ini termasuk televisyen dan kemudahan istirehat supaya keluarga korban (mangsa) lebih selesa di sini.
  
"Mereka juga bersetuju sebulat suara untuk terus menetap di hotel-hotel berdekatan lapangan terbang untuk kemudahan mereka," katanya.
  
Sementara itu, tinjauan Bernama di Pusat Krisis Terminal 2 lapangan terbang mendapati pelbagai emosi dapat dilihat daripada riak wajah anggota keluarga dan waris pesawat malang itu.
  
Seorang daripada mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Abang Solo berkata keluarganya tidak mahu berpindah atau berjauhan dari lapangan terbang ini kerana seolah-olah berasa dekat dengan anggota keluarganya yang hilang itu.
  
Menurutnya, inilah lokasi terakhir mereka meluangkan masa bersama-sama sebelum anggota terbabit menaiki pesawat tersebut.
  
Pesawat Airbus 320-200 bersama 162 orang di dalamnya terdiri daripada 149 penumpang Indonesia, Korea Selatan (3), Singapura (1), Malaysia (1), United Kingdom (1), dan kru Indonesia (6) serta Perancis (1), yang dijadual tiba pada jam 8.30 pagi waktu tempatan dari Surabaya, terputus hubungan dengan pusat kawalan trafik udara Jakarta pada 7.24 pagi waktu tempatan pada Ahad.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.