Kapsyen
gambar: Anggota JPAM sempat bergambar dengan Chong Wei semasa beliau
melawat PKTK di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, semalam.
KUALA KANGSAR - Kehadiran Datuk Lee Chong Wei ke Pusat Kawalan Tempat
Kejadian (PKTK) di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam sedikit
mengejutkan petugas yang sama sekali tidak menyangka kehadiran jaguh
badminton dunia itu.Beliau yang tiba di PKTK tersebut kira-kira jam 1.15 tengah hari sempat menyampaikan beberapa pek minuman kepada anggota keselamatan yang bertugas di situ.
Ikon sukan negara itu kemudiannya beramah mesra dengan anggota keselamatan bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan banjir di daerah Kuala Kangsar.
Jaguh badminton itu kemudiannya bergerak ke Rumah Rehat Kuala Kangsar bagi menyerahkan bungkusan baju dibawanya yang bakal diserahkan kepada mangsa banjir.
Kunjungan beliau turut diiringi Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Khair-Il Anuar Wan Ahmad sebelum menuju ke Senggang untuk bertemu mangsa banjir di sana.
Seorang anggota yang bertugas di situ, Imran Khan Syed, 20, berkata, meskipun dirinya terkejut disapa, namun tetap berasa gembira dan terharu.
"Kehadiran beliau nyata menggembirakan kami yang bertugas di sini dan pastinya mangsa banjir yang bertemu dengannya juga akan merasai perasaan sama.
"Bukannya mudah untuk melihat seorang jaguh dunia datang ke tempat kita dan kehadiran beliau pastinya akan menceriakan wajah-wajah mangsa banjir di sini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.