MALAYSIAKINI
Negeri Sembilan menjadi negeri kelapan dilanda banjir sejak bencana itu melanda negara 10 hari lepas.
Lebih 300 penduduk di Negeri Sembilan terjejas, menjadikan keseluruhan
mangsa banjir di seluruh negara kini mencecah 132,684 orang setakat pagi
ini. Keadaan banjir di Kelantan, Terengganu, Johor, Pahang dan Perak
pula semakin buruk manakala Perlis serta Kedah dilaporkan bertambah
baik.
Di Kelantan, sejumlah 55,960 mangsa banjir berada di pusat pemindahan berbanding 45,467 semalam.
Cuaca di Kota Bharu dilaporkan mendung dan hujan sudah berhenti pagi
ini. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melawat negeri
itu hari ini bagi meninjau sendiri keadaan banjir yang semakin merebak.
Keadaan di TERENGGANU juga dilapor semakin buruk dengan angka mangsa
banjir meningkat kepada 35,028 orang berbanding 33,269 orang malam tadi.
Kemaman dan Dungun paling teruk terjejas apabila masing-masing
merekodkan 24,912 dan 8,678 orang mangsa yang masih berada di tempat
pemindahan, menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu.
Kuala Terengganu masih bertahan dengan 1,258 mangsa dan Hulu Terengganu
180 orang. Mangsa banjir di semua kawasan terjejas ditempatkan di 95
pusat pemindahan.
Banjir di Terengganu kini sudah meragut empat nyawa.
Di Johor, jumlah mangsa banjir juga bertambah kepada 1,104 orang
daripada 896 malam tadi dengan Kota Tinggi menjadi daerah terbaharu
terjejas, menurut Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri Johor.
Lima lagi daerah yang terjejas ialah Muar, Batu Pahat, Kulaijaya, Segamat dan Kluang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.