Selasa, 30 Disember 2014

Jangan hilang sejurus banjir surut!




Oleh Timmy Say


Terima kasih kepada semua yang membantu rakyat ditimpa banjir ketika ini.Segala derma – duit, pakaian mahupun makanan yang disumbangkan amatlah dihargai.

Namun begitu, pertolongan yang kita hulurkan buat masa ini terlalu kecil daripada apa yang diperlukan mangsa banjir sejurus air surut.Bayangkan tenaga dan bantuan yang diperlukan untuk membersihkan... 

Satu rumah dipenuhi dengan lumpur sehingga ke siling. Lantai rumah disalut dengan lumpur setinggi setengah inci dengan sampah-sarap, rumput-rampai bertiarap di mana-mana.

Setiap buku, fail dan kertas yang ada di rumah berwarna kecoklatan basah dikotori air lumpur.

Barangan hiasan semuanya disaluti lumpur.

Almari berkayu sudah mula kembang reput.

Apabila dibuka rak yang ada, air banjir masih ada di dalamnya.

Bau busuk lumpur terhidu kuat daripada kusyen yang masih basah kuyup. Semuanya rosak dan tidak mungkin dapat diguna semula.

Begitu juga dengan tilam, tikar di lantai dan langsir.

Sayap kipas berdiri dan di turbinnya yang dipenuhi tanah liat. Penghawa dingin yang ada juga berwarna kecoklatan.

Lampu rumah yang rosak direndam air. Plak elektrik yang masih lembap berair.

Bukan itu saja, peralatan dapur juga dipenuhi lumpur dan air banjir bertakung.

Ada pula bau busuk yang menjijikkan datang daripada bilik air terlimpah.

Baju yang ada di dalam almari semuanya kecoklatan dan basah. Terfikir mesin basuh di belakang rumah, dalamnya masih lembap dipenuhi air.

Elektrik masih terputus. Bekalan air masih kotor.

Di luar pula, ada kereta mangsa berlumpur rosak tersadai di tengah jalan.

Kamu akan mengalir air mata kalaulah kamu ialah mangsanya. Itu baru satu rumah… bayangkan berpuluh ribu rumah dan kedai yang terkena kali ini.

Mangsa yang kelihatan rumah mereka dalam keadaan begini akan hilang arah apa yang perlu dibuat seterusnya.

Segala yang mereka usahakan selama ini musnah oleh air bah yang tiada simpati.

Waktu selepas banjir surut ialah masa paling kritikal untuk mana-mana bencana banjir.

Mengagihkan bantuan ketika banjir adalah kerja terlalu mudah jika dibandingkan dengan kerja pembersihan, pemulihan dan kebajikan yang perlu dibuat untuk membolehkan mangsa meneruskan kehidupan mereka.

Waktu inilah mangsa memerlukan lebih banyak bantuan dan tenaga berserta dorongan.

Oleh itu, jangan tinggalkan mereka sejurus air banjir surut, terutamanya agensi kerajaan dan ahli politik yang datang menghulurkan bantuan kerana politik.

Kerana pada waktu itu, keperitan sebenar mangsa banjir baru bermula.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.