SHAH ALAM: Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin berkata suspek
serangan seksual, Muhammad Rizalman Ismail bersetuju menawarkan diri
sendiri untuk dibawa pulang ke New Zealand bagi menghadapi perbicaraan
kesnya.
Hamzah berkata, persetujuan itu dibuat ketika proses permohonan
ektradisi di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur pada 16 Oktober lalu.
"Lanjutan permohonan ekstradasi, satu prosiding diadakan terhadap Rizalman di Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur.
"Dalam prosiding tersebut diplomat itu tidak membantah dan menyatakan
kesediaan beliau kembali ke New Zealand untuk dibicarakan," katanya pada
Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala
Kedah (PKR) Azman Ismail mengenai pegawai diplomat yang dituduh
melakukan serangan seksual ke atas wanita New Zealand, Tania Rose
Billingsley.
Hamzah berkata, penghantaran pulang Rizalman yang akan dibicarakan pada
21 November ini jelas membuktikan hubungan dua hala dan kerjasama erat
antara Malaysia dan New Zealand.
"Kedua-dua negara berpegang pada prinsip dan proses perundangan jelas dan kukuh.
"Malaysia juga yakin Rizalman akan mendapat perbicaraan yang adil dan saksama di New Zealand," katanya.
Beliau berkata, kerajaan Malaysia sentiasa mengambil pendekatan
berbincang dengan negara terlibat jika wujud kes membabitkan diplomat
seperti yang berlaku di New Zealand.
"Biasanya kita akan ambil kira ada kesalahan atau tidak kerana ia membabitkan perbincangan dua negara.
"Kalau mahu keadilan, pertama sekali mesti dilakukan ialah perbincangan
kedua-dua negara. Itu yang kita buat dan kita bersetuju Rizalman dibawa
pulang ke Malaysia dulu.
"Bagaimanapun timbul permintaan New Zealand untuk dihantar pulang bagi
dibicarakan, kita bersama pegawai itu meminta beliau sendiri bersetuju
menghadapi perbicaraan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.