Isnin, 24 November 2014

Bertanding untuk ajar PAS – Suee Lim

Ia termasuk tanda tidak senang hati DAP atas tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak menghadiri mesyuarat khas PR
Ng Suee Lim

SHAH ALAM: ADUN DAP-Sekinchan, Ng Suee Lim menyatakan tindakannya bertanding merebut jawatan Timbalan Speaker DUN Selangor sebagai mengajar PAS supaya berkelakuan baik sebagai anggota Pakatan Rakyat.

Katanya, PAS tidak memperlihatkan semangat perpaduan PR dalam isu pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor sebelum ini.

“Ia termasuk tanda tidak senang hati DAP atas tindakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak menghadiri mesyuarat khas PR,” tambahnya.

Suee Lim menambah, keputusan bertanding juga bertujuan mencipta satu budaya baru dalam PR dan bukannya sesuatu jawatan hanya ditentukan oleh satu calon sahaja.

Katanya, beliau dengan Mohd Shafie Ngah merupakan kawan baik kerana sama-sama berasal dari Sekinchan dan menambah, ”Saya sedar bukan mudah untuk menang tapi tidak salah mencuba.”

ADUN Sekinchan itu berkata, beliau menikmati sokongan penuh daripada semua ADUN DAP berikutan memperoleh 14 undi dalam pengundian sulit ketika memilih Timbalan Speaker.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali ketika mengulas isu ini berkata, DUN Selangor bersifat demokrasi dan membuka cadangan kepada ADUN yang mahu mengemukakan pencalonan.

“Kita buat begitu sebab kita mengamalkan demokrasi,” katanya ketika sidang media selepas membentangkan Bajet Selangor 2015 di DUN Selangor.

Sementara itu, Timbalan Speaker, Mohd Shafie Ngah yang baru dilantik berkata, walaupun Menteri Besar sudah berjanji memberikan jawatan tersebut kepada PAS, beliau menganggap pemilihan terbuka itu sebagai amalan demokrasi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.