MALAYSIAKINI
Umno sedang mengumpul pandangan daripada akar umbi berhubung perkara
berkaitan 'tiang seri' negara seperti agama, kaum dan institusi diraja
untuk dibahaskan pada perhimpunan agung parti itu bulan depan.
Naib Presiden parti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata
pandangan berkenaan penting bagi mengelak perkara berkaitan 'tiang seri'
negara menjadi polemik hingga mencetuskan perpecahan kaum di negara
ini.
"Majlis Tertinggi Umno sudah putuskan saya memimpin Jawatankuasa Usul
dan Jurucakap sempena Perhimpunan Agung Umno. Saya juga pengerusi Biro
Perlembagaan dan Perundangan Umno.
"Sehubungan itu, Umno menerusi jawatankuasa dan biro ini sedang
mendapatkan pandangan daripada akar umbi mengenai perkara-perkara 'tiang
seri' untuk dibawa dan dibahaskan ke Perhimpunan Agung parti," katanya
selepas menghadiri majlis rumah terbuka Deepavali Muafakat Johor di
Kluang, hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Johor R Vidyanathan.
Hishammuddin yang juga menteri pertahanan berkata pandangan daripada
akar umbi amat penting bagi Umno dalam menyatakan pendirian parti itu
berhubung perkara-perkara yang sering diperkatakan rakyat terutamanya
Akta Hasutan.
Menurutnya mengambil kira pandangan akar umbi juga merupakan amalan
tradisi Umno dan Barisan Nasional dalam menjaga kepentingan rakyat.
Konvensyen Umno Johor di Johor Baharu awal bulan depan juga akan
dijadikan medium bagi mendapatkan maklum balas daripada akar umbi
berhubung perkara berkenaan, katanya.
-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.