MALAYSIAKINI
Faktor kembalinya sokongan pengundi Cina kepada BN akhir-akhir ini
memberikan keyakinan kepada MCA untuk merampas kembali sembilan kerusi
DUN Johor, yang ia tewas pada pilihan raya umum 2013 (PRU13), daripada
pembangkang.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Wee Ka Siong yang juga
timbalan presiden MCA berkata parti itu akan meningkatkan jenteranya
bagi mempertahan dua kerusi DUN Johor yang dimenanginya pada PRU13 iaitu
Paloh dan Pulai Sebatang.
"Beberapa pilihan raya kecil sebelum ini seperti Parlimen Teluk Intan
dan DUN Kajang menunjukkan sokongan pengundi Cina sudah kembali kepada
BN," katanya pada sidang media selepas merasmikan pejabat MCA Bahagian
Johor Baharu hari ini.
Pada pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan 31 Mei lepas, Wee berkata
sokongan pengundi dalam kalangan masyarakat Cina terhadap BN mencatatkan
peningkatan 14.5 peratus berbanding pada pilihan raya umum sebelumnya.
Analisis MCA juga menunjukkan trend sama di mana sokongan pengundi Cina
pada pilihan raya kecil DUN Kajang juga menunjukkan peningkatan yang
memberangsangkan.
Berikutan trend peningkatan sokongan pengundi Cina terhadap BN, beliau
berkata MCA akan melipatgandakan usaha untuk merampas kembali sembilan
kerusi DUN yang majoriti undi kemenangan pembangkang adalah di bawah 10
peratus.
Antara kerusi berkenaan ialah Stulang, Parit Yaani, Johor Jaya dan Mengkibol, kata Wee yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam itu.
Selain itu, katanya parti komponen BN akan merangka strategi bagi
mempertahan empat kerusi Parlimen dan merampas semula empat kerusi lain
termasuk Gelang Patah yang dimenangi pembangkang tahun lepas.
Selain Ayer Hitam, kerusi Parlimen milik MCA ialah Labis, Tebrau dan Tanjung Piai.
Anggota Parlimen Johor Baharu Tan Sri Shahrir Abdul Samad, yang turut
hadir pada majlis itu, berkata BN mempunyai peluang yang baik untuk
merampas semula Parlimen Gelang Patah yang kini disandang oleh Penasihat
DAP Lim Kit Siang.
Johor mempunyai 26 kerusi Parlimen dan 56 kerusi DUN.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.