MALAYSIAKINI
Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menganggap 2015 sebagai
tahun "amat dahsyat" bagi rakyat marhaen yang menetap di bandar dengan
pendapatan rendah dan pertengahan.
Katanya, hal demikian disebabkan kenaikan harga barang dan inflasi susulan kenaikan harga minyak semalam, ditambah pula dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada April depan.
"Kerajaan
usahlah perbodohkan rakyat lagi dengan langkah-langkah mendenda bagi
menghalang peruncit, pemborong dan pengusaha restoran untuk menaikkan
harga.
"Impak kepada inflasi akibat kenaikan RM0.20 ini bakal dirasai sepenuhnya dalam jangka tiga bulan.
"Perkara ini akan diburukkan lagi apabila GST dilaksana pada bulan April," katanya.
Beliau mengulas langkah kerajaan merasionalisasi subsidi petrol,
menyebabkan kenaikan petrol RON95 dan diesel sebanyak RM0.20, demi memastikan kedudukan kewangan negara kukuh.
Bagi mengukuhkan hujahnya, Tuan Ibrahim memetik laporan "2H2014 Economic
Outlook: External Positives Amidst Domestic Challenges”, yang menyebut
bahawa inflasi bakal meningkat mendadak dalam dua tahun pertama cukai
itu dilaksanakan.
Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang berkata Malaysia "tidak
akan terlepas" untuk berdepan kenaikan inflasi seperti yang dialami
Australia, Singapura dan China selepas dua tahun pertama cukai itu
dilaksanakan.
Katanya,
di Australia, sebelum GST dilaksanakan, kadar inflasinya hanya 1.8
peratus tetapi melonjak kepada enam peratus selepas GST dilaksanakan,
tetapi menurun kepada 2.9 peratus selepas dua tahun dilaksanakan.
"Tetapi masih sekali ganda lebih tinggi daripada sebelum GST terlaksana.
"Begitu juga di Singapura dan China. Sebelum GST dilaksanakan,
(masing-masing) inflasi hanya sekadar 0.8 peratus dan 10.5 peratus.
"Pada tahun GST dilaksanakan, inflasi di Singapura melonjak ke 5.4
peratus manakala China 24.2 peratus sebelum turun ke 2.3 peratus bagi
Singapura dan 12.7 peratus bagi China selepas dua tahun," katanya.
Sehubungan itu, Tuan Ibrahim mengingatkan rakyat supaya bersedia
menghadapi perkara itu dan menegaskan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)
sebanyak RM1,000 - purata RM83.33 sebulan - tidak dapat membantu rakyat
marhaen menghadapi inflasi.
"Ditambah pula dengan kesan inflasi akibat kenaikan harga minyak
sekarang, tahun 2015 dijangka menjadi sangat dahsyat kepada rakyat
marhaen," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.