MALAYSIAKINI
Pengurangan subsidi petrol dan diesel sebanyak 20sen berkuat kuasa hari
ini disifatkan wajar bagi mengelak berlakunya ketirisan dan
penyelewengan bahan subsidi itu, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohamad.
Beliau berkata jika subsidi tidak dikurangkan, bahan bakar itu akan
berterusan dimanipulasi pihak tertentu untuk mengaut keuntungan menerusi
kegiatan penyeludupan ke luar negara terutamanya di kawasan sempadan.
"Minyak cukup murah di sini (Malaysia). Di negara yang keluar minyak
macam di Arab pun lebih tinggi harga dia, macam mana kita boleh jual
murah? Itu yang orang curi minyak kita.
“Hari-hari orang curi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan
ucaptama bertajuk "Peri Pentingnya Bahasa Inggeris di Abad Ke-21, Zaman
Digital" di Kolej Wadi Sofea di Kota Baharu, Khamis.
Turut hadir Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan Prof Datuk Dr
Raduan Che Rose dan Pengetua Kolej Wadi Sofea Datuk Hassan Harun.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pada
Rabu mengumumkan subsidi petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20
sen seliter, berkuat kuasa 12.01 pagi Khamis.
Harga runcit baharu bagi Petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter.
Dr Mahathir berkata pengurangan subsidi minyak itu tidak boleh dikaitkan
sebagai faktor utama berlakunya kos peningkatan sara hidup.
"Kos mesti meningkat sepanjang masa. Kita tidak boleh minta gaji
dinaikkan dan kos diturunkan. Gaji minimum pun sudah naik kepada RM900.
Kos untuk mengeluarkan barang meningkat kerana gaji dinaikkan," katanya.
Sementara itu ketika diminta mengulas pergolakan politik di Selangor, Dr
Mahathir berkata Umno Selangor perlu bangkit semula dan perlu berbuat
sesuatu.
Secara sinis, Dr Mahathir berkata: "Saya sedih terdapat pergolakan dalam Pakatan (Rakyat) namun tidak nampak Umno dapat nikmat.
"Apa jadi pada Umno? Umno pun lemah dan tidak boleh nak pulih semula,
nak jadi kerajaan di Selangor. Apa jadi? Dulu kita menguasai Selangor
tetapi orang berpecah pun kita tidak ada peluang," katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.