Rabu, 17 September 2014

'Majlis Syura jangan mudah melatah'

MALAYSIAKINI


 


Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din meminta agar para pemimpin Majlis Syura tidak mudah melatah apabila diserang melalui Internet oleh “individu yang tidak memahami perjuangan PAS”.

Tanpa menamakan pihak terlibat, Haron berkata golongan itu mempertikai dan mengecam keputusan Majlis Syura yang dibuat secara sebulat suara.

"Ulama dalam Majlis Syura tidak mudah melatah dan membuat serangan balas. Tidak itu bukan cara ulama.

"Ulama berlapang dada dan tidak terkeluar daripada prinsip 'agama itu nasihat," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Muktamar Dewan Ulama PAS di Kulaijaya, Johor.

Tokoh agama itu juga membangkitkan isu ketaatan kepada pemimpin dalam sesuatu keputusan yang dibuat selagi mereka tidak menyuruh anggota PAS melakukan maksiat.

"Kepatuhan kepada pemimpin adalah perkara asas dalam (mengelakkan) konflik. Sebab apa (krisis dalaman) yang berlaku sekarang adalah (berpunca) masalah ketaatan kepada pemimpin yang terus dipertikaikan," katanya.

Menganggap satu krisis sebagai asam garam berjamaah, beliau menggesa PAS menyediakan prasarana untuk menyiapkan "pengendali, pejuang dan pembantu" demi menjayakan perjuangan Islam.

"Kalau dalam perjuang Islam, maka mestilah mengetahui sungguh-sunggh bahwa siapa ketuanya, siapa penolongnya. Kita mengambil contoh menjadi imam dalam solat jamaah.

"Dalam solatpun ada kaedah siapa patut jadi imam, maka dalam perjuangan (Islam juga memlih) siapa yang patut jadi ketua dan (siapa yang) mempertahankannya.

"Dan siapa yang patut menjadi ketua kerajaan, siapa patut jadi MB. Menyedari hal ini, kita perlu mengutamakan yang lebih baik daripada yang baik," katanya.

Dalam ucapannya juga, Haron turut membaca dua potong ayat Al-Quran yang menggesa umat Islam supaya mengadakan syura dan bertawakal kepada Allah jika berazam untuk melaksanakan sesuatu perkara.

Beliau turut memberi contoh bagaimana Rasulullah SAW mempertahankan amalan syura khususnya dalam peperangan Uhud dan Peristiwa Perjanjian Hudaibiyah di mana ada kalanya baginda bertindak sendirian demi kepentingan Islam.

"(Jadi) ada kadang-kadang pemimpin (PAS) membuat keputusan seorang diri dan tidak ada maksiat dan kemudiannya bertawakal kepada Allah.

"Atas perkara inilah, ia perlu menjadi satu bahan untuk kita berfikir dan bertindak," katanya yang juga pengasas perubatan Islam Darul Syifa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.