MALAYSIAKINI
Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din menyeru agar Dewan Ulama PAS
meneliti sama ada kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat perlu
diteruskan demi mengelakkan fitnah ke atas pemimpin utama parti Islam
itu.
Berucap dalam Muktamar Dewan Ulama hari ini, Haron berkata "setiap hari
ada fitnah" yang dilemparkan kepada Majlis Syura Ulama, presiden PAS dan
semua anggota PAS.
Beliau yang menyifatkan PAS menghadapi "suasana politik yang gawat" pada
ketika ini berkata, PAS perlu mengambil jalan terakhir dengan keluar
dari Pakatan sekiranya syarat kerjasama itu tidak dapat dipulihkan.
"Tahaluf (kerjasama) dibina atas nasihat ulama yang mempunyai syarat dan
rukun yang perlu dipenuhi. Sekiranya semuanya dipenuhi, ulama
mempertahan tahaluf demi kepentingan Islam dan jemaah, bukan untuk
kepentingan individu.
"Sekiranya syarat dilanggar, rukun dirobohkan, ulama wajar memikirkan balik kalau ia boleh diteruskan (atau tidak).
"(Jika) syarat-syarat dirobohkan ulama perlu memperbaiki balik,
memperbaiki balik, memperbaiki balik. Kalau tak boleh juga, ambillah
konsep talak dalam perkahwinan, walaupun ia dibenci," katanya.
"Saya meminta tahaluf diperhalusi semula, dalam suasana politik hari
ini, tiap-tiap hari ada fitnah kepada Majlis Syura, presiden dan semua
kena fitnah," katanya.
Menurutnya lagi, bagi anggota PAS yang memperjuangkan reda Allah, maka
sepatutnya mereka tidak bersengketa sesama sendiri bagi mengelakkan
kekuatan mereka hilang.
"Kalau kita tidak kuat, kita akan hilang segala-galanya. Sebab itu kita perlu berada dalam jemaah,"katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.