KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Suhaizan Kaiat sekali lagi
menegaskan pandangan kontroversi melibatkan pemimpinnya bukan pendirian
apatah lagi mewakili parti berkenaan.
"Ia sebenarnya memberi senario yang sudah pasti senario itu bukan satu,
senario itu banyak dan sepatutnya semua senario itu harus dibacalah.
"Barulah kita dapat gambaran yang lebih besar dan itu baru satu senario," katanya kepada Antarapos.
Malahan menurut beliau, perkara itu akan diselesaikan dalam mesyuarat
Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat akan datang menambah komponen lain perlu
berhenti mengkritik analisis pemimpin PAS itu.
"Bagi macam inilah, perkara itu boleh selesai bila kita buat mesyuarat
dalam Pakatan Rakyat akan datang, tiada masalah," katanya lagi.
Suhaizan berkata demikian mengulas analisis Pengarah Operasi Pusat
Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki melalui sistem aplikasi WhatsApp
yang tersebar kepada umum sehingga membawa kepada kontroversi antara
parti itu dan Pakatan.
Dalam perbincangan WhatsApp itu, Zuhdi melontarkan analisis senario
yang menunjukkan PAS masih boleh mengekalkan Selangor menerusi kerjasama
dengan Umno.
Analisis berkenaan dilihat susulan konflik dalaman Pakatan berikutan
isu kerusi Menteri Besar Selangor yang disandang Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim dengan PKR mencadangkan presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail sebagai calon pengganti, didakwa dipersetujui DAP dan ditentang
PAS.
Berikutan paparan skrin mesej itu yang didedahkan di media sosial, PAS
cuba menjauhkan diri daripada pandangan Zuhdi yang dianggap bersifat
peribadi manakala PKR dan DAP mengkritik hebat cadangan itu yang dilihat
cuba mengkhianati perjuangan Pakatan.
**Teliti keseluruhan analisis sebelum kritik**
Tegas Suhaizan lagi, analisis Zuhdi itu perlu dilihat secara keseluruhan dengan mengambil kira semua senario dinyatakan.
Justeru beliau berkata adalah tidak wajar membuat keputusan tanpa
merujuk perkara sebenar sehingga mencetuskan krisis lebih besar.
"Senario ini bukannya perkara yang betul atau keadaan yang sebenarnya,
maknanya hanya imaginasi (malah) ada senario satu, senario dua dan
senario tiga.
"Jadi maknanya kena baca keseluruhan senario itu baru dapat gambaran yang sebenar.
"Bukan begitu, ia begini macam kita buat analisis...bila buat analisis
kena ada senario satu, senario dua serta senario tiga dan ia bukan
kejadian sebenar," katanya.
Dilihat tidak terlalu mengambil serius isu itu, Suhaizan berkata
mana-mana pihak boleh merujuk kepada Zuhdi sekiranya mahu mendapatkan
penjelasan selanjutnya.
"Ia imaginasi satu, dua, tiga dan empat...kalau macam (senario) ini
akan jadi seperti ini (keputusan) dan seterusnya, macam itulah.
"Kalau senario satu hasilnya A, senario dua akan jadi B dan kalau nak
tahu macam mana ceritanya kena rujuk Dr Zuhdi tapi maknanya itulah
senario yang diberi kepada kita.
"Itu bukannya pendirian parti," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.