OLEH JAMILAH KAMARUDIN
Presiden dan Penasihat Guaman di Consumers Association Of Subang & Shah Alam, Selangor (CASSA) Malaysia, Datuk Dr. Jacob George semasa di sidang media tentang situasi air di Selangor di Shah Alam hari ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim,
Pengerusi Gerakan Pengguna Negeri Selangor (GPNS) Datuk Dr Jacob George menggesa pengarah strategi PKR Rafizi Ramli supaya tidak campur tangan isu penstrukturan industri air negeri itu dengan mempolitikkan kandungan perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan Putrajaya.
Jacob berkata, isu utama kini adalah kebimbangan rakyat dengan risiko kekurangan bekalan air bersih apabila paras simpanan air kini hanya tinggal 33.46%.
Sebaliknya beliau berkata, Rafizi cuba mempolitikkan keadaan dengan menimbulkan teori konspirasi pengambilalihan air antara Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan syarikat konsesi air.
"Bila mereka cuba hendak membina isu yang baru dan menangguhkan proses (pengambilalihan air) kita akan demonstrasi depan ibu pejabat (PKR).
"Ribuan akan protes. Ini bukan politik tetapi (melibatkan isu) pengguna tulen. Kita tidak campur urusan politik," katanya pada sidang media di kediamannya di Shah Alam hari ini.
Beliau berkata, sebagai persatuan pengguna, pihaknya menekankan agar isu air di Selangor tidak dipolitikkan lagi kerana rakyat negeri itu kini sedang menderita dan sengsara dengan masalah bekalan air yang berlaku.
Rafizi yang juga ahli parlimen Pandan sebelum ini sering mempertikaikan MoU penstrukturan air apabila mendakwa perjanjian itu tidak membawa keuntungan kepada rakyat dan lebih memihak kepada Putrajaya.
Rafizi juga didakwa terlibat dalam konspirasi menyingkirkan Khalid apabila berpakat dengan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam urusan pembelian Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) untuk RM2.5 bilion, sedangkan tawaran asal hanyalah sebanyak RM250 juta sahaja.
Namun ahli panel penstrukturan air yang mewakili Pakatan Rakyat dalam menyelia kerajaan Selangor itu menafikannya.
Sementara itu, Jacob yang juga presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) membandingkan cara pemerintahan PKR di Selangor dengan DAP di Pulau Pinang yang mengasingkan isu politik daripada pemerintah dengan pentadbiran negeri.
"Mereka (Pulau Pinang) tahu asingkan isu politik daripada pemerintah dengan pentadbiran negeri. Mereka ada cara pentadbiran jelas bagaimana hendak mengendalikan krisis," katanya.
Beliau turut memberi amaran kepada Rafizi supaya berhenti bersikap kebudak-budakan dengan menimbulkan isu konspiraso melibatkan menteri besar, syarikat konsesi dan sebagainya.
Sebaliknya, beliau menggesa Rafizi menggunakan kebijaksanaan menyokong kerajaan Selangor mempercepatkan proses ambil alih industri air.
"Rafizi juga mengatakan terma perjanjian air akan dikaji semula jika Selangor mendapat menteri besar baru.
"Adakah proses pengambilalihan perlu dilengahkan lagi memandangkan ia telah memakan masa sejak 2008?
"Adakah semua wakil kerajaan di Selangor dan agensi lain yang berkaitan dalam perjanjian air ini tidak boleh dipercayai?"
Jacob berkata pihaknya memberi masa sebulan kepada Rafizi dan pemimpin Pakatan Rakyat menyelesaikan krisis menteri besar dan mempercepatkan proses perjanjian air sebelum pengguna bertindak turun ke jalan raya.
"Kami percaya pengguna air Selangor sudah bosan dan malas mendengar alasan serta pertelingkahan di kalangan ketua parti.
"Sekiranya proses pengambilalihan air tidak dipercepatkan dan manifesto kerajaan Selangor kepada rakyat tidak ditunaikan, sudah pasti rakyat tidak mempercayai PKR lagi."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.