MALAYSIAKINI
Meluaskan kekebalan diplomatik kepada atase diplomatik yang dituduh
pecah rumah dan melakukan serangan seksual, memberi isyarat bahawa
kekebalan seumpama itu adalah lesen untuk melakukan jenayah.
Ketika
menegaskan demikian dalam satu kenyataan semalam, Pengarah Eksekutif
NGO Lawyers for Liberty, Eric Paulsen (kanan) berkata meluaskan
kekebalan tersebut akan menjejaskan hubungan Malaysia-New Zealand.
Di samping itu, tegasnya, "penyalahgunaan" seperti itu juga boleh
melemahkan hubungan dengan negara lain kerana Malaysia "tidak dapat
menjamin bahawa diplomatnya akan menghormati undang-undang" di negara
mereka bertugas.
Oleh itu, NGO berkenaan menggesa kerajaan supaya segera mengekstradisi
Muhammad Rizalman Ismail - kakitangan pembantu pertahanan di konsulat
Malaysia di Wellington - dan tidak hanya dibicarakan di mahkamah tentera
di Malaysia.
Bukan setakat langgar disiplin
"Peguam for Liberty terkejut bahawa kerajaan Malaysia menegaskan ia
memberi kekebalan diplomatik untuk melindungi Muhammad Rizalman (Ismail)
daripadas apa yang jelas satu kes serius serangan seksual dan pecah
rumah - perbuatan yang tiada berkaitan dengan peranan diplomatiknya.
"Kami mengingatkan kerajaan Malaysia bahawa kekebalan diplomatik adalah
penting untuk diplomat bekerja tanpa gangguan di negara asing, tetapi ia
bukan satu lesen untuk melakukan jenayah dan sudah tentu tidak boleh
digunakan dalam kes ini," katanya.
Beliau juga berkata Rizalman tidak sepatutnya hanya berdepan dengan
mahkamah tentera seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Luar kerana
dia bukan setakat dituduh melanggar disiplin.
"(Ianya) tidak munasabah kerana ini bukan isu disiplin tetapi kesalahan
jenayah yang serius yang didakwa dilakukan terhadap seorang wanita,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.