MALAYSIAKINI
Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun lima bulan di dijangkiti
virus Ensefalitis Jepun (JE), dipercayai selepas melawat datuknya di
Bagan Jermal, di Butterworth.
Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Datuk Dr Lailanor Ibrahim berkata
pemeriksaan darah terhadap kanak-kanak itu pada 24 Jun lepas mendapati
ia positif JE.
"Kanak-kanak itu mengalami demam dan kejang-kejang dan dimasukkan ke
Hospital Seberang Jaya pada 13 Jun, bagaimanapun keadaannya makin serius
dan dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.
"Di HPP pesakit telah dimasukkan ke wad Pediatrik Unit Rawatan Rapi
(ICU) dan setelah menerima rawatan intensif, pesakit telah menunjukan
respons yang baik serta telah dikeluarkan dari ICU dan dipindahkan ke
wad biasa pada 18 Jun," katanya dalam kenyataan kepada Bernama, malam
tadi.
Beliau berkata menurut doktor pakar dari HPP, kanak-kanak itu telah
beransur pulih setelah menerima rawatan intensif dan pesakit berkenaan
juga kini boleh makan dan minum.
Dr Lailanor berkata pesakit itu masih dirawat di HPP dan sedang menjalani fisioterapi.
"Pemeriksaan darah (Serum Serologi untuk JE) pada 24 Jun lepas adalah
positif dan hari ini pihak HPP sekali lagi mengambil sampel darah
pesakit untuk kepastiaan, ia dijangka diketahui dalam masa terdekat,"
katanya.
Beliau berkata pihaknya akan membuat siasatan lanjut terhadap keluarga
pesakit untuk Pengesanan kes secara aktif dan langkah-langkah kawalan
akan diambil.
Sebelum ini, seorang murid Tahun Enam Sekolah Kebangsaan Kampung Selamat
disyaki dijangkiti virus JE dan masih dirawat di sebuah hospital swasta
di Bayan Baru, dekat Butterworth.
Muhammad Ammar Muqrish Zulkifli, 12, pada awalnya dikatakan mengalami
demam panas sejak 18 Mei lalu dan dimasukkan ke Hospital Kepala Batas
selepas demamnya itu berlarutan sebelum dipindahkan ke hospital swasta
itu pada 21 Mei.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.