Khamis, 3 Julai 2014

Rani tempelak pemimpin mahu Khalid undur

MALAYSIAKINI



 
 
 
ADUN Meru Dr Abdul Rani Osman menempelak sikap segelintir pemimpin Pakatan Rakyat yang mahu Tan Sri Khalid Ibrahim berundur sebagai menteri besar sejak akhir-akhir ini ekoran tewas dalam pemilihan PKR.

Malah, Abdul Rani berkata Khalid perlu diberi peluang memulihkan kepincangan dalam pentadbiran negeri dan pakatan pembangkang di negeri itu, lapor Sinar Harian hari ini.

"Beri peluang kepada Abdul Khalid laksanakan perancangannya untuk kebaikan semua. Bukannya parti sendiri menekan dari dalam.

"Cuma Abdul Khalid kena ingat bahawa dia naik pentas atas nama parti," katanya seperti dilapor dalam akhbar itu.

Dalam laporan itu juga, Abdul Rani berkata kekalahan Khalid dalam pemilihan parti bukan menjadi alasan meminta bekas tokoh korporat itu berundur sekaligus menganggap ketewasan itu sebagai "normal dan tidak perlu wujud pertikaian".

"Lagipun bukan beliau sahaja pimpinan yang tewas di peringkat cabang, ramai lagi yang tewas dan tidak menjadi masalah pun," katanya yang juga bekas pesuruhjaya PAS Selangor. 

Akhbar itu juga melaporkan Abdul Rani berkata isu pertukaran menteri besar dan calon gantian belum pernah dibangkit dan dibincangkan dalam Pakatan Rakyat.

"Ini kerana suara-suara yang mahukan MB ditukar bukanlah suara konsensus majoriti rakan Pakatan dan ada kalangan rakan Pakatan sendiri tidak mahu posisi MB ditukar," katanya.
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.