MALAYSIAKINI
Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu sebulat suara memutuskan bahawa
kenyataan bekas aktivis politik dan sosial Kassim Ahmad pada satu
seminar Februari lalu sebagai pemikiran yang kufur dan
murtad.
Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Islam Terengganu, Datuk Mohd Rozali Salleh
berkata keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat khas kali pertama
jawatankuasa itu yang bersidang pada 9 Mac lalu.
'Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian' itu berlangsung di Putrajaya.
Mohd Rozali berkata, "Fahaman atau golongan tersebut adalah sesat,
menyeleweng dan menjadi ancaman kepada ketenteraman awam serta
merosakkan akidah mereka.
"Berdasarkan kepada ucapan yang telah disampaikan oleh Kassim Ahmad,
terdapat unsur penyelewengan antaranya mempertikaikan syahadah yang
kedua, mengingkari dan mempertikaikan hadis sebagai sumber hukum,
mempertikaikan hukum rambut perempuan sebagai aurat, hukum selawat dan
membenarkan jenayah murtad berlaku dalam masyarakat," katanya dalam
sidang media hari ini.
Sehubungan itu, jawatankuasa fatwa turut memutuskan apa jua fahaman yang
berunsurkan penolakan hadis ini perlu disekat dari berkembang.
Mohd Rozali berkata sebarang penerbitan, penyiaran dan penyebaran
apa-apa buku, risalah, filem, video dan apa sahaja berhubung fahaman ini
adalah diharamkan dan orang Islam dilarang memiliki, menyimpan
mencetak, menjual atau mengedarkan semua bahan terbabit.
"Mana-mana orang Islam sama ada secara individu atau berkumpulan yang
mengikuti fahaman anti hadis ini dengan berselindung di sebalik aktiviti
ekonomi, perniagaan, pendidikan, kesenian dan sebagainya yang mempunyai
unsur persefahaman anti hadis ini adalah dianggap mengamalkan fahaman
yang bercanggah dengan syariat.
"Oleh yang demikian, orang ramai di negeri ini hendaklah menghindarkan
diri daripada terlibat dengan fahaman golongan tersebut," katanya.
Mesyuarat jawatankuasa itu juga bersetuju supaya keputusan berhubung
fahaman anti hadis ini diwartakan untuk dijadikan fatwa yang mengikat
bagi membolehkan tindakan diambil terhadap kesalahan yang terbabit,
katanya.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.