KUALA LUMPUR – Seorang pakar berpendapat usaha mencari pesawat Malaysia
Airlines Penerbangan MH370 yang hilang pada 8 Mac lepas, kini tidaklah
serumit dahulu ketika pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melakukan
pencarian di kawasan yang salah.
Saintis angkasa lepas dan fizik di New Zealand, Duncan Steel,
menyatakan perkara itu dalam wawancara menerusi e-mel dengan Bernama
susulan pengumuman Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB)
baru-baru bahawa pesawat berkenaan tidak berada di sekitar tempat
isyarat akustik, yang dikesan sebelum ini.
“Itu semua bukan petunjuk sebenarnya (bagi dakwaan pengesanan isyarat
akustik). Langkah menolaknya adalah sesuatu yang baik kerana ini
membolehkan pertimbangan diberi terhadap kemungkinan yang lain pula,”
kata Steel, yang juga Profesor Pelawat bidang Astrobiologi di University
of Buckingham, England dan saintis angkasa lepas di Pusat Penyelidikan
NASA-Ames di California, Amerika Syarikat.
Menurutnya isyarat ping sonik yang dikesan di Lautan Hindi (bagi
seorang ahli fizik) jelas sekali bukan berpunca daripada alat pengesan
kedudukan kecemasan MH370 selain pengumuman ATSB tidak berkaitan
langsung dengan maklumat yang diperoleh dari satelit.
Beliau percaya berdasarkan maklumat data mentah yang dikeluarkan, besar
kemungkinan MH370 menuju ke selatan pada kelajuan hampir 500 knot dan
berakhir lebih jauh dari kawasan pencarian sekarang.
Steel memuji syarikat telekomunikasi Britain, Inmarsat kerana usahanya
mengeluar dan membuat analisis terhadap data berkenaan, yang memberikan
hasil yang baik.
“Bagaimanapun, ini bukanlah bermakna saya yakin hasilnya adalah tepat
kerana kami tidak diberi maklumat penting tentang komposisi BFOs (Burst
Frequency Offsets) dan model tugas yang dilakukan Inmarsat.
“Sekiranya kami mendapat maklumat itu, kami boleh meneliti apa yang
telah dilakukan untuk mengesahkannya atau mungkin menemui kesilapannya,”
kata beliau.
Steel berpendapat sekurang-kurangnya pertimbangan patut diberikan
terhadap koridor utara, sebelum kemungkinannya diketepikan secara
mutlak.
“Sebagai contoh, ada orang yang perlu pergi melihat tempat pesawat
berkenaan dikatakan terhempas di Besh Tash Valley (Kyrgyzstan) berikutan
terdapat andaian adanya gumpalan asap selepas pesawat berkenaan
terhempas.
“Secara realiti, itu hanyalah satu per 1,000 daripada kemungkinan yang
ada, tetapi mengapa tidak ke sana terlebih dahulu sebelum menolaknya?”
kata beliau.
Sementara itu, bekas ketua juruterbang Malaysia Airlines Datuk Kapten
Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain berkata beliau tidak mempunyai sebab untuk
tidak mempercayai hasil analisis dan kiraan yang dibuat Inmarsat dan
Cawangan Penyiasatan Nahas Udara (AAIB) berikutan pengumuman ATSB itu.
“Kiraan yang dibuat berdasarkan data Inmarsat itu disahkan Lembaga
Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika, AAIB, Jabatan
Penerbangan Awam (DCA) Malaysia dan Pusat Penyelarasan Tindakan Bersama
(JACC) yang berpangkalan di Perth,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata semua badan itu, selain DCA dan NTSB, boleh dianggap
sebagai badan luar yang hampir tidak langsung mempuyai kepentingan
secara langsung dan mereka bersetuju dengan hasil itu.
Nik Ahmad Huzlan juga berkata semua kiraan itu turut disahkan pakar
tempatan yang mahir dalam bidang komunikasi satelit daripada sudut
teknikal.
“Bagaimanapun, terdapat margin kesilapan yang berpunca daripada
penggunaan andaian, yang memungkinkan kawasan mencari diperluaskan,”
katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.