THE MALAYSIAN INSIDER
Kira-kira
20,000 orang yang berkumpul di empat lokasi untuk menyertai perhimpunan
anti GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) 1 Mei, berhimpun di depan
bangunan Sultan Abdul Samad di Jalan Raja, Kuala Lumpur.
Beberapa kumpulan mula tiba di empat lokasi pertemuan – KLCC, Sogo,
Dataran Maybank dan Jalan Raja Laut sejak seawal jam 1 petang tadi.
Mereka berjalan menuju depan bangunan Sultan Abdul Samad di Jalan Raja, yang terletak bersebelahan Dataran Merdeka.
Perhimpunan anjuran gabungan 95 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu dijadualkan berlangsung dari jam 2 hingga 5 petang ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika menyampaikan ucapan
Belanjawan 2014 pada Oktober lalu mengumumkan GST akan dilaksanakan
bermula April, 2015.
Ia
mencetuskan kebimbangan kenaikan harga barangan dan menambah beban
kepada kebanyakan isi rumah Malaysia yang berpendapatan rendah dan
sederhana.
Perhimpunan yang diadakan serentak dengan sambutan Hari Buruh di
seluruh dunia, bertemakan “Anti GST – Hingga ia digugurkan” dan ia
dijangka dihadiri pemimpin pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar
Ibrahim.
Terdahulu, di Butterworth, Pulau Pinang, kira-kira 300 orang berkumpul
dalam perhimpunan anjuran Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC)
negeri untuk meluahkan isu yang menjejaskan pekerja dalam pelbagai
industri.
Permintaan mereka ialah menggesa kerajaan menghapuskan rancangan untuk
mengenakan GST, pemberian elaun sara hidup (Cola) sebanyak RM300 kepada
pekerja swasta dan meningkatkan gaji minimum daripada RM900 kepada
RM1,500.
Speaker di perhimpunan itu termasuk Timbalan Ketua Menteri II, Dr P
Ramasamy; Pengerusi Bersih wilayah utara, Datuk Dr Toh Kin Woon dan Adun
Machang Bubuk, Lee Khai Loon.
Ketua
MTUC Pulau Pinang, S Ravindran, berkata khalayak yang datang tidak
seramai yang dijangkakan penganjur mungkin kerana pekerja takut berdepan
dengan masalah jika menyertainya.
Katanya, mereka mempunyai tanggapan perhimpunan itu adalah haram kerana
ada akhbar melaporkan acara hari ini tidak mendapat permit polis.
“Itu tidak benar. Akhbar yang melaporkan sedemikian tidak bertanya
kepada kami. Kami mendapat permit untuk perhimpunan ini,” katanya.
Mereka pada awalnya menjangka kira-kira 5,000 orang akan datang ke acara itu.
The Malaysian Insider akan membawakan kepada pembaca perkembangan terkini secara langsung perhimpunan 1 Mei di Kuala Lumpur.
PERKEMBANGAN TERKINI:
12.40pm: Walaupun orang ramai mula berkumpul di empat lokasi pertemuan,
situasi tenang. Polis trafik mengawal perjalanan trafik.
12.53pm, KLCC: Polis memasang halangan di depan dewan Filharmonik
Petronas untuk mengawal kawasan itu. Sekumpulan anggota polis berkawal
di pintu masuk pejabat Petronas. Orang awam tidak dibenarkan masuk ke
kawasan berhalangan.
1pm, KLCC: Kira-kira 30 mahasiswa tiba, melaungkan slogan anti GST dan
anti Najib. Sekumpulan kira-kira 100 orang berkumpul di sana, berpakaian
merah dan hitam bersama skaf anti GST. Ramai yang membawa bendera
slogan anti GST dan ahli Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).
1pm, KLCC: Kelihatan pemimpin SAMM, Che Gu Bard mengetuai penyokong
yang berkumpul di situ. Beliau memberikan arahan menggunakan pembesar
suara dari kenderaan pacuan empat rodanya. Semakin ramai yang datang dan
kumpulan makin besar.
1.15pm, Jalan Tuanku Abdul Rahman: Kira-kira 3,000 orang berjalan dari Sogo menuju ke Dataran Merdeka.
1.20pm, KLCC: Sekumpulan lagi ahli SAMM baru tiba dan menyertai kumpulan di depan pintu masuk KLCC.
1.23pm, Sogo: Kira-kira 2,000 penyokong berkumpul di depan Sogo sambil ada yang melaungkan slogan GST bangsat.
1.31pm, Sogo: Ahli Parlimen Kelana
Jaya daripada PKR, Wong Chen hadir untuk turut serta bersama penyokong
berjalan ke bangunan Sultan Abdul Samad berhampiran Dataran Merdeka di
Jalan Raja. Wong berkata, pihak berkenaan boleh bercakap mengenai hudud,
tetapi orang ramai lebih risau periuk nasi masi-masing. GST akan
menjadi faktor penentu dalam pilihan raya akan datang.
1.41pm, KLCC: Orang ramai yang duduk di depan KLCC dihiburkan dengan lagu yang didendangkan oleh seorang lelaki.
2pm, Sogo: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu mula menyampaikan
ucapan. Beliau beri amaran penyokong jangan pijak rumput di Dataran
Merdeka.
Orang ramai mula melaungkan slogan “Undur Najib, letak jawatan”, “Bantah GST”, “Hidup rakyat”.
Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar akan mengetuai kumpulan berarak dari Sogo ke Dataran Merdeka.
Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad memberikan ucapan dan berkata
keputusan Mahkamah Rayuan minggu lalu mengiktiraf perhimpunan aman.
Katanya, rakyat mahu menyampaikan mesej jelas kepada kerajaan, rakyat
menolak GST.
2.02pm, KLCC: Kira-kira 300 orang berkumpul di depan KLCC.
2.08pm, Sogo: Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh dalam ucapannya
berkata, rakyat letih apabila kerajaan menyebabkan rakyat semakin susah.
Tolak Umno BN, tolak GST, katanya.
2.09pm, KLCC: Datuk Ambiga Sreenevasan mengetuai laungan “Bersih, Bersih. Hidup rakyat, bantah GST”.
2.09pm, Sogo: Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa dalam ucapannya berkata,
perhimpunan hari ini adalah hak rakyat untuk menolak kezaliman kerajaan
Barisan Nasional. Katanya, kerajaan hanya mahu membebankan rakyat
miskin dan pertengahan dengan GST sementara negara lain mengenakan cukai
kepada golongan kaya sahaja.
2.18pm, Masjid Negara: Orang ramai mula berarak melaungkan slogan “Reformasi, tolak GST”.
2.19pm, Sogo: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob dalam ucapannya
berkata, perhimpunan hari ini untuk mempertahankan rakyat kerana Umno BN
gagal berbuat demikian.
2.20pm, Sogo: Kumpulan penyokong dari Sogo mula bergerak ke Jalan Raja.
2.30pm, Masjid Negara: Kira-kira 5,000 penyokong berjalan ke Jalan Raja
untuk menyertai perhimpunan. Trafik sesak di depan Masjid Negara. Unit
Amal PAS sedang memberikan arahan kepada orang ramai.
2.34pm, KLCC: Penyokong mula bergerak meninggalkan KLCC dan menuju ke Jalan Raja.
2.59pm, Masjid Negara: Kumpulan diketuai Datuk Saifuddin Nasution
Ismail, Mohamed Azmin Ali, Khalid Samad, Datuk Mahfuz Omar, Datuk Raja
Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.
3.03pm, Bangunan Sultan Abdul Samad: Kumpulan dari Sogo tiba di lokasi
perhimpunan. Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam
ucapannya berkata, wanita yang paling terkesan dengan kenaikan harga
barang kerana golongan itu yang banyak membeli barang di pasar.
3.08pm, Dataran Merdeka: Timbalan Presiden PKR dan Ahli Parlimen
Gombak, Mohamed Azmin Ali berkata perhimpunan hari ini menampakkan
peserta pelbagai bangsa dan umur bangkit menentang kerajaan BN.
3.25pm, Dataran Merdeka: Aktivis pelajar Adam Ali berkata perhimpunan Bersih dan bantah Lynas dibenarkan masuk Dataran Merdeka.
3.40pm, Dataran Merdeka: Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar
mendakwa Putrajaya menggunakan duit rakyat untuk memperkayakan kroni.
Beliau menyelar pemilikan kapal selam Scorpene yang disifatkan “tidak
berguna” kerana tidak dapat membantu dalam pencarian penerbangan MH370.
3.45pm, Dataran Merdeka: Nurul kepada Najib: “Anda adalah perdana menteri minoriti, cuba mula dengar pendapat rakyat.”
3.51pm, Dataran Merdeka: Sebahagian daripada himpunan bersurai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.