MALAYSIAKINI
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan
kejadian menimpa Lans Koperal Mohd Azuan Abdullah, yang maut dirempuh
kenderaan suspek samun di Selama, adalah contoh pengorbanan dan
manifestasi keprihatinan polis demi menjaga keselamatan orang ramai.
Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) menghargai jasa Allahyarham dalam membanteras jenayah sehingga tergadai nyawa.
"Kita mahu masyarakat tahu bahawa tugas polis terus untuk membanteras
jenayah dan ia adalah satu pengorbanan yang menggadaikan nyawa," katanya
kepada pemberita selepas menziarah jenazah Mohd Azuan di Unit Forensik
Hospital Raja Permaisuri Bainun semalam.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata masyarakat dan pejuang hak asasi
manusia perlu prihatin bahawa pengorbanan yang dilakukan PDRM dalam
membanteras jenayah tiada akhirnya.
Turut hadir Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua
Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim dan Ketua
Polis Daerah Kerian
Superintenden Mat Fauzi Nayan.
Dalam kejadian pukul 1.15 petang, Mohd Azuan bersama anggota Unit
Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian maut manakala
rakan setugasnya cedera parah dirempuh kereta dinaiki penjenayah, yang
terlibat dalam satu kes samun, di Batu 10 menghala Alor Pongsu dekat
Parit Buntar.
Ahmad Zahid berkata jenazah Allahyarham dibawa pulang kampungnya di Kulai, Johor.
Mengulas insiden kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish ditemui
terbakar di kawasan kebun pisang antara Lunas dan Ara Kuda di Tasek
Gelugor, Pulau Pinang, beliau berkata polis sedang menjalankan siasatan
lanjut berhubung perkara itu.
"Siasatan akan terus dijalankan dan operasional serta maklumat akan
dimaklumkan oleh ketua polis negeri atau pegawai lain yang
bertanggungjawab," katanya.
Beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada keluarga Allahyarham yang diwakili Mat Fauzi.
Allahyarham dijadual berkahwin esok
Di KULAIJAYA, Johor, Abdullah Mahmood, 49, berkata anaknya itu amat
meminati kerjaya polis sejak kecil dan sentiasa bersemangat ketika
bertugas.
Beliau berkata Mohd Azuan, 25, sering menceritakan pengalaman pahit dan
manis kerjayanya sebaik tamat menjalani latihan sehinggalah ditugaskan
di Balai Polis Batu Kurau.
"Dia ada cakap dengan saya kerjanya sepanjang lima tahun ini kadangkala
seronok dan kadangkala sedih tetapi sebagai bapa, saya sentiasa
menasihatinya supaya bekerja bersungguh-sungguh dan berhati-hati dalam
tugasan yang dilakukan," kata beliau kepada pemberita di rumahnya di
Taman Scientex.
Abdullah, yang masih terkejut dengan kejadian itu, berkata kali
terakhir beliau berbual dengan anak ketiganya itu ialah menerusi
telefon pada 16 Mei lepas.
Katanya, selain berkomunikasi menerusi telefon, beliau sentiasa
mengikuti perkembangan harian Mohd Azuan menerusi laman sosial Facebook.
Abdullah berkata beliau dia dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa
Mohd Azuan oleh anak perempuannya sebelum menerima maklumat sahih
daripada PDRM dan rakan Allahyarham.
Katanya, semalam merupakan hari terakhir Mohd Azuan bekerja sebelum
bercuti untuk majlis pernikahan 28 Mei ini dan majlis resepsi pada 1
Jun.
"Mengikut rancangan, Mohd Azuan tidak pulang ke Johor dan terus menunggu
rombongan kami yang akan tiba di Kedah dengan menaiki bas untuk majlis
perkahwinan itu," katanya sambil menambah majlis sambut menantu di Johor
dirancang diadakan selepas Aidilfitri.
Abdullah berkata beliau redha dengan kejadian itu dan berharap pihak
polis segera menahan suspek yang terlibat serta membawa mereka ke muka
pengadilan.
Beliau berkata jenazah Mohd Azuan dijangka dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Batu 22, Kulaijaya, esok.
Sementara itu, kereta Toyota Wish dipercayai milik penyamun yang
merempuh dua anggota polis di Batu 10 menghala Alor Pongsu, di Perak
ditemui terbakar dalam kebun pisang di Ara Kuda di Tasek Gelugor
semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim
berkata kereta berwarna kelabu itu ditemui orang awam yang melalui
kawasan berkenaan pada kira-kira 5.30 petang.
"Kami mendapat maklumat daripada polis Kedah memaklumkan sebuah kereta
yang dipercayai milik kumpulan penyamun terbabit masuk ke kawasan SPU
dan pasukan polis menjalankan Ops Tutup.
"Kira-Kira pukul 5.30 petang, polis dapat panggilan telefon daripada
orang awam memaklumkan sebuah kereta jenis Toyota Wish sedang terbakar
dalam sebuah kebun.
"Nombor pendaftaran kenderaan itu ditanggalkan," katanya.
Abdul Rahman berkata usaha mengesan pemilik kereta itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.
"Kami minta orang ramai atau saksi yang melihat bagaimana kereta itu
berada di kawasan berkenaan dan terbakar supaya menghubungi polis bagi
membantu siasatan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.