Jumaat, 2 Mei 2014

Hari Buruh, Phil Ochs, Billy Bragg, Dylan dan kita



Oleh Meor Yusof Aziddin


1 Mei atau Mayday adalah Hari Buruh atau Hari Pekerja, hari di mana golongan marhaen atau golongan 'working class' diraikan. Setiap kali datangnya Hari Buruh biasanya saya akan kembali kepada 'roots' muzik saya, folk.

Muzik folk dekat dengan masyarakat biasa kerana kita adalah sebahagian daripada kehidupan yang penuh dengan elemen 'survival'. Kita adalah golongan pekerja yang perlu bekerja untuk terus hidup dan mencapai bahagia.

Lagu-lagu folk menceritakan tentang kehidupan yang biasa. Jarang terdapat lagu folk bercerita tentang orang kaya yang sukses menjana kejayaannya dan dipuji lantaran kekayaan mereka.
Melainkan jika kita bercerita tentang mereka, ia penuh dengan mesej yang sinis dan provokatif.

Saya akan kembali mendengar lagu-lagu eperti Phil Ochs, Dylan, Billy Bragg dan Woody Guthrie.

Yang agak berkesan dan penuh dengan elemen punk dan politikal, Billy Bragg. Pun yang paling menarik daripada segi idea dan karangan lagu tentunya Phil Ochs.

Bragg amat mengkagumi karya Phil Ochs, kerana katanya jika dibandingkan dengan Dylan, beliau lebih menghormati karya Phil Ochs.

Bagi Bragg, Phil Ochs lebih pure manakala Dylan pula berjaya mengecap kemasyuran sebagai penyanyi folk yang melalui zaman penuh gemilang.

Tabiknya pada Phil Ochs, hinggakan terdapat sebuah lagu yang berjudul ' I Dreamed I Saw Phil Ochs Last Night' di dalam albumnya The Internationale, didedikasikan untuk mentornya itu.

Saya agak berkecuali dalam menilai mana yang lebih bagus, sebab masing-masing, Dylan mahupun Ochs, ada kelebihan. Mereka muncul dalam era yang sama, pertengahan zaman 1960-an. Bragg pula hanya muncul di era 1980-an.

Secara umumnya tidak dapat dinafikan Dylan lebih menonjol. Banyak faktor, antaranya Dylan lebih berkarisma, kacak, bijak manakala lagu dan liriknya tidak terlalu serius, mudah diterima, variasi sifatnya dan beliau adalah fenomena di zamannya.

Sepanjang kariernya, Ochs menghasilkan 8 album iaitu All the News Thats Fit to sing (1964), I Aint Marching Anymore (1965), Phil Ochs in Concert  (1966), Pleasures of the Harbour (1967), Tape From California (1968), Rehearsals From Retirement (1969), Greatest Hits (1970) dan Gunfight at Carnegie Hall (1975).

Lagu-lagu beliau tidak pernah menduduki carta 100 lagu terbaik Amerika, cuma penyanyi folk Joan Baez pernah mempopularkan lagu beliau yang berjudul There but for Fortune dan menduduki carta 10 lagu terbaik di United Kingdom.

Agak malang nasib Ochs tidak secerah Dylan. Ia mengingatkan saya pada era Jimi Hendrix, banyak gitaris hebat yang lain tenggelam nama dan kehebatan mereka dek karisma Hendrix yang mendahului zamannya. Salah seorang gitaris/penyanyi hebat yang tidak bernasib baik ialah Rory Gallagher.

Apa boleh buat, Hendrix muncul dengan pakej yang sempurna sebagai seorang gitaris yang berkarisma.

Di sini memang tidak dapat kita nafikan Ochs tenggelam kerana kehebatan Dylan, Sawong Jabo tenggelam dengan karisma dan populariti Iwan Fals. Takdir lebih menyebelahi mereka.

Dylan dan Ochs, hero mereka adalah Woody Guthrie, legenda penyanyi folk sosialis yang namanya akan terus dikenang sepanjang zaman. 1963, nama Phil Ochs semakin dikenali.

Beliau mula mendapat tempat untuk membuat persembahan di majlis yang dianjurkan oleh pertubuhan pelajar mahupun parti politik, di Carnegie Hall dan Town Hall contohnya, juga di pentas ceramah anti perang dan protes.

Dylan bahkan menganggap Ochs sebagai saingannya mungkin sebab mereka waktu itu di bawah pengurus yang sama, Albert Grossman.

Dalam waktu yang sama mereka adalah kawan seperjuangan yang boleh dikatakan akrab. Bila peminat Dylan tidak menyukai dia bermain gitar elektrik, Ochsmengkagumi Dylan di atas keberaniannya dalam membuat perubahan dalam muziknya.

Bagi saya lagu-lagu Ochs sangat bermutu daripada segi proses penciptaan mahupun lirik-liriknya. Unik dan menarik. Cuma tema dalam lagunya serius walau ada unsur humor yang sarkastik, perang dan protes.

Cuba dengar lagu Highwayman, Power and Glory, I aint Marching Anymore dan War Is Over. Walaupun beliau mengkagumi Woody Guthrie sebagai mentor, namun daripada segi penciptaan lagu bagi saya Ochs lebih menarik, Woody pula agak tradisional dan straight forward.

Nasib penyanyi folk selalunya berakhir dengan cerita sedih dan tragis. Nick Drake mati di kerusi malas, depresi, murung dan putus asa dalam hidup. Victor Jara, legenda penyanyi folk Chile yang juga rakan akrab Ochs mati dibunuh.

John Lennon yang juga kawan baik Ochs mati dibunuh oleh peminatnya sendiri, Ochs juga mengalami nasib yang sama, murung, sakit mental, kecewa, dadah, arak dan mati.

Kematiannya dikatakan ada sangkut paut dengan keterlibatan pihak daripada CIA dan FBI kerana bagi mereka pengaruh yang ada pada Ochs sangat bahaya dan pembabitannya dalam konsert protes, politik dan lagu-lagunya tidak disenangi.

Joekidd memperkenalkan muzik Billy Bragg kepada saya di awal 1990-an dulu melalui album pertamanya Life's a Riot with Spy Vs Spy yang diterbitkan pada 1983.

Siapa sangka album yang agak rabak dan tidak cukup sempurna itu meletup di pasaran UK dan menduduki tangga ke-30 dalam Carta album UK. Life's a Riot penuh dengan elemen punk, dengan iringan gitar elektrik yang raw dan vocal Bragg yang jujur.

Itu kali pertama saya mendengar album yang hanya dengan hanya iringan sebuah gitar elektrik. Melodi yang catchy dengan teknik power chords yang sinonim dengan lagu-lagu punk menjadikan album ini unik dan patut dimiliki oleh semua mat punk khususnya.

Seterusnya saya mengikuti perkembangan album-album Bragg seperti album Talking with the Tax Man about Poetry (1986) dan The Internationale (1990).

Bragg berjaya menghasilkan 21 album sejak album pertamanya yang diterbitkan pada 1983 hinggalah album Tooth&Nail (2013).

Bragg, Phil Ochs, Dylan, Iwan Fals, Kembara, Gombloh, Fanky Sahilatua mahupun band rock legenda Indonesia Godbless antaranya, lagu-lagu mereka banyak bercerita tentang kehidupan yang realisitk sifatnya.

Tentang ketidakadilan antara sesama manusia, tentang Tuhan dalam konteks yang lebih matang dan terbuka, tentang dunia yang semakin kejam dan tidak berperi kemanusiaan, tentang alam yang semakin reput, tentang rakusnya golongan atas menindas yang bawah demi kuasa yang mereka miliki kononnya.

Ini semua sepatutnya mereka (anak-anak muda) perlu ambil tahu dan tanamkan minat untuk lagu yang ada kena mengena dengan kehidupan kita.

Untuk apa kita yang katanya 'working class' ini masih asyik melayan lagu-lagu cinta bodoh artis yang tahap mereka hanya seperti burung belatuk, yang hanya pandai menyanyi dengan iringan muzik minus one sahaja? –

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.