MALAYSIAKINI
Calon BN Datuk Mah Siew Keong sewaktu mengumumkan manifesto beliau hari
ini menawarkan sebuah universiti untuk pengundi Teluk Intan sekiranya
berjaya dipilih menjadi anggota Parlimen kawasan itu.
Manifesto yang bertemakan pembangunan itu turut menawarkan usaha untuk
menyenaraikan Menara Condong Teluk Intan sebagai tapak warisan dunia
bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan
Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).
Ia adalah sebahagian janji Mah untuk merancakkan pembangunan komuniti dan sektor pelancongan di Teluk Intan.
"Adalah hasrat saya untuk mendapatkan satu universiti di Teluk Intan untuk anak-anak muda kita.
"Saya berjanji akan bekerja kuat untuk memastikan perkara ini dapat dilaksanakan," katanya pada sidang media pagi ini.
Beliau mengakui usaha untuk menyenaraikan Menara Condong sebagai tapak
warisan Unesco agak mencabar kerana ia akan memakan masa dan ia juga
memerlukan kelulusan daripada tujuh kementerian untuk tujuan itu.
"(Penyenaraian) Menara Condong ini bukan kerja yang mudah, tapi ia adalah tentang usaha.
"Kita perlu dapat kelulusan tujuh kementerian," katanya.
Ringkas tapi penting
Selain itu, beliau turut menawarkan satu stadium dan lebih banyak padang
futsal, membina lebih banyak zon WiFi, dan mentransformasikan Teluk
Intan sebagai pusat pertanian dan pusat untuk pencinta makanan di negeri
Perak.
Beliau
juga turut berazam membina lebih banyak rumah mampu milik untuk
penduduk Teluk Intan di samping menyelesaikan masalah-masalah setempat
seperti perparitan dan lampu-lampu jalan.
"Manifesto ini adalah ringkas, bukan benda-benda besar, namun ia adalah penting," katanya pagi tadi.
Pada masa sama katanya, penduduk Teluk Intan perlu menggunakan peluang
pilihan raya kecil ini untuk memastikan pembangunan di kawasan itu dapat
dilaksanakan dengan kehadiran pemimpin-pemimpin kerajaan untuk
berkempen dan memberi perhatian khusus buat Teluk Intan.
"Suka tak suka, ini adalah satu pilihan raya kecil dan saya terima kasih
banyak-banyak kepada pemimpin yang datang ke Teluk Intan dan saya ambil
kesempatan untuk berbincang dengan mereka," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.