Najib
menyampaikan ucapan dasar pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Umno
Ke-67 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. - Bernama
KUALA LUMPUR - Perhimpunan Agung Umno tahun ini akan berlangsung dari
28 Oktober hingga 1 November, kata Perdana Menteri dan Presiden Umno,
Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.Najib berkata perhimpunan lima hari itu bermula dengan taklimat presiden pada 28 Okt, diikuti perhimpunan sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada 29 Oktober.
"Perasmian Perhimpunan Agung Umno akan diadakan pada 30 Okt dan berakhir pada 1 November," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato' Onn di sini, hari ini.
Turut hadir timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan anggota Majlis Tertinggi Umno yang lain.
Najib berkata anggota Majlis Tertinggi Umno merangkap Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilantik sebagai pengerusi forum antarabangsa yang akan diadakan sempena perhimpunan agung parti tonggak BN) itu.
Beliau juga mengumumkan 11 Mei sebagai tarikh sambutan ulang tahun Umno ke-68, bermula dengan majlis tahlil, solat Maghrib, bacaan Yasin dan doa kesyukuran, diikuti majlis menaikkan bendera Umno dan ucapan presiden parti.
Dalam perkembangan lain, Najib berkata sidang panel rayuan Jawatankuasa Tatatertib dan Disiplin Umno menolak rayuan dan mengekalkan hukuman digantung keanggotaan selama dua penggal bagi Ketua Umno Bahagian Bakri Datuk Saipolbahri Suib dan anggota jawatankuasa bahagian sama, Uzir Sahid.
"Rayuan Ketua Penerangan Bahagian Bakri Yaacob Jamian dan Naib Ketua Wanita Bahagian Bakri Safiah Siwon pula diterima dan diberikan amaran sebagai hukuman," katanya.
Kesemua mereka terbabit dalam politik wang pada pemilihan parti tahun lalu.
Sementara itu, Najib berkata Jawatankuasa Pengurusan Umno memutuskan Timbalan Ketua Umno Bahagian Kepong dikekalkan kepada Datuk Norizan Ali selepas meneliti bantahan Umno Bahagian itu.
Beliau turut berkata BN belum memutuskan calonnya yang akan bertanding pada pilihan raya kecil (PRK) Bukit Gelugor, Pulau Pinang.
Ditanya sama ada BN akan meletakkan calon MCA untuk kerusi itu, Najib yang juga pengerusi BN berkata: "Belum fikir lagi sebab terlalu awal. Kita akan bincang dengan presiden MCA".
Secara tradisinya, kerusi Parlimen Bukit Gelugor adalah milik MCA.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK kecil itu diadakan pada 25 Mei selepas penamaan calon pada 12 Mei. Pengundian awal ialah 21 Mei.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Karpal Singh dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak, 17 April lepas.
Pada pilihan raya umum Mei 2013, Karpal Singh menang kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon BN, Teh Beng Yeam. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.