Sabtu, 26 April 2014

Obama Jawab Soalan Tentang Kerjasama M'sia-AS

MSTAR ONLINE


Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya sudah bersiap sedia menerima kunjungan rasmi Presiden Barack Obama selama tiga hari bermula Sabtu

 
KISAH Barack Obama sentiasa bermula dengan 'yang pertama'. Beliau menjadi editor Makalah Undang-Undang Universiti Harvard yang pertama dan presiden Amerika yang pertama dari kalangan masyarakat Amerika-Afrika. Beliau juga adalah presiden Amerika Syarikat (AS) yang pertama datang dari kepulauan Pasifik iaitu Hawaii. 

Hari ini, Sabtu, 26 April 2014, beliau juga menjadi presiden AS yang pertama untuk melawat Malaysia sejak Lyndon B. Johnson berbuat demikian pada 1966. Sempena lawatan tiga harinya ke sini, Barack Obama menjawab beberapa soalan eksklusif daripada Pengarang Bersekutu The Star, SANTHA OORJITHAM.

SOALAN: Tuan akan menjadi Presiden AS yang pertama melawat Malaysia sejak Lyndon B.Johnson pada 1966. Enam tahun sebelum kedatangan Johnson, Malaysia telah mengisytiharkan Darurat (1960) dan Johnson sendiri berkata yang AS boleh mempelajari sesuatu daripada kejayaan Malaysia menangani Darurat ketika Amerika bergelut dengan perang di Vietnam. Bagaimana Tuan melihat hubungan bilateral sekarang dan apakah mesej yang ingin Amerika sampaikan kepada Malaysia?

OBAMA: Saya sebenarnya berasa bangga menjadi presiden Amerika yang pertama untuk melakukan lawatan rasmi ke Malaysia dalam tempoh 50 tahun. Ini memperbaharui peranan kepimpinan yang dimainkan oleh AS untuk rantau Asia Pasifik.

Sejak saya mengambil alih jawatan presiden, saya telah memastikan yang AS melebarkan lagi rangkaian persahabatannya dengan negara-negara rantau Asia Tenggara sebagai satu keutamaan.

Dengan penduduk yang berjumlah ratusan juta orang, dengan pertumbuhan ekonomi serta laluan samudera yang strategik, Asia Tenggara menjadi semakin penting kepada aspek keselamatan dan kemakmuran bukan sahaja kepada AS tetapi juga seluruh dunua. Dan di rantau inilah Malaysia memainkan peranan yang penting dan utama untuk masa kini dan juga akan datang.

Perlu saya nyatakan bahawa saya juga membuat keputusan untuk datang ke Malaysia dalam usaha untuk meneruskan transformasi perhubungan di antara kedua-dua buah negara ini. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Malaysia telah berusaha untuk meningkatkan perhubungan dengan AS dan di sebelah saya juga, saya telah mengarahkan agar kerjasama ini dipertingkatkan.

Dan hari ini, kedua-dua buah negara ini sedang bekerjasama dengan lebih rapat mencakupi semua bidang. AS adalah di antara pelabur luar terbesar di Malaysia dan eksport AS ke Malaysia turut membantu pertumbuhan di Amerika sendiri.

Pada masa yang sama, kami juga sedang berusaha untuk mempromosikan kerjasama maritim dan kestabilan serantau. Kami juga sedang berusaha untuk meningkatkan Kerjasama Trans-Pasifik (TPP) dalam usaha untuk meningkatkan dagangan. Oleh yang demikian saya melihat lawatan saya ini sebagai satu peluang untuk menyeragamkan kerjasama yang komprehensif dan meletakkan batu asas kepada kerjasama yang lebih kukuh pada masa depan.

Mesej utama saya ialah, AS sentiasa mengalu-alukan sumbangan pertumbuhan Malaysia kepada keselamatan serantau dan juga kemakmuran serantau. Dan pada ketika kami meningkatkan lagi kerjasama kami dengan kerajaan Malaysia, kami juga melihat ke hadapan untuk terus berinteraksi dengan masyarakat Malaysia termasuklah kumpulan masyarakat sivil dan generasi muda Malaysia yang merupakan pemangkin kepada masa depan negara ini dan juga serantau.

SOALAN: Tuan secara peribadi mempunyai hubungan yang kukuh dengan Perdana Menteri Najib. Hasil daripada perbincangan yang terjalin di antara kedua-dua pemimpin negara ini, akhirnya kita dapat saksikan kumpulan pertama Program Bantuan Mengajar Bahasa Inggeris Fulbright telah dihantar ke Malaysia mulai 2012. Apakah bentuk komitmen dan cadangan yang akan dibawa oleh Tuan dalam lawatan rasmi ini dan apakah sasaran hubungan kerjasama dua hala yang Tuan harapkan untuk tempoh 10 tahun dari sekarang?

OBAMA: Saya sebenarnya mengalu-alukan kedatangan Perdana Menteri Najib ke Washington pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear yang pertama empat tahun lalu, juga ke negeri asal kelahiran saya iaitu Hawaii untuk Sidang Apec dan kami telah bekerjasama dalam beberapa lagi sidang kemuncak serantau yang lain. saya dapati Najib sangat serius dan komited untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala di antara Malaysia dan AS malah membuka era baru.

Secara khusus, saya memandang tinggi usaha Najib untuk menjadikan ekonomi Malaysia lebih dinamik dan kompetatif termasuk sokongan yang telah ditunjukkannya kepada pembangunan usahawan muda. Malah saya secara peribadi terhutang budi kepada Najib dan Malaysia kerana menjad hos Sidang Kemuncak Keusahawanan Global tahun lalu kerana ia adalah inisiatif yang saya sendiri mulakan dan sangat rapat di hati saya.

Dalam pertemuan kami pada September 2010 di New York ketika berlangsungnya Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Perdana Menteri dan saya telah duduk berbincang untuk memulakan satu program yang hampir serupa yang pernah dilakukan oleh AS iaitu the Peace Corps - satu program yang akan membawa generasi muda Amerika ke Malaysia bagi membantu mengajar bahasa Inggeris di kalangan pelajar sekolah Malaysia. Hasilnya kami telah memperkenalkan Program Bantuan Mengajar Bahasa Inggeris Fulbright.

Sejak dua tahun yang lalu, hampir 200 warga Amerika telah dihantar ke Malaysia di bawah program ini. Mereka bukan sekadar mengajar bahasa Inggeris, malah mereka telah menjalinkan satu perhubungan yang erat dengan para pelajar mereka, malah keluarga mereka dan juga masyarakat sekitar. Dan saya berharap yang kami akan dapat menghantar lebih ramai warga kami untuk datang ke Malaysia dan mengajar bahasa Inggeris kepada pelajar-pelajar di sini kerana inilah kerjasama yang akan membantu merapatkan lagi jalinan di antara rakyat kedua-dua buah negara ini.

Memandang ke hadapan, saya berpendapat kerjasama yang lebih erat dalam pelbagai bidang di antara AS dan Malaysia bermakna bertambahnya kemakmuran dan keselamatan untuk kedua-dua negara dan dengan lebih banyak kerjasama dagangan dan pelaburan menerusi TPP, kita akan dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan menjadi pemain global yang lebih kompetatif.

Dan bertambahnya kerjasama keselamatan bermakna kita akan dapat mempromosikan kestabilan di rantau ini dan juga Pasifik dan kita juga akan dapat menentukan yang semua pihak mendapat keadilan sejagat di bawah peraturan yang sama, dan sebarang perbalahan akan dapat diselesaikan menerusi rundingan dan aman. Saya berharap, AS dan Malaysia akan dapat melancarkan beberapa inisiatif baru ketika saya berada di sini dan juga rantau Asean.


Najib dan Obama bertemu di East ASIA Summit Indonesia, Nusa Dua, Bali pada November 2011.

SOALAN: Salah satu matlamat utama Tuan adalah untuk melakukan transformasi TPP tetapi apakah ini boleh dicapai tanpa penyertaan  China dan juga Indonesia?
 OBAMA: Saya komited kepada TPP kerana ia akan membuka lebih banyak pasaran kepada barangan kita, merancakkan eksport dan peluang pekerjaan serta pertumbuhan ekonomi bukan sahaja kepada AS dan juga Malaysia, tetapi melangkaui rantau ini. Untuk mencapai persetujuan sebesar ini yang melibatkan 12 buah negara atau lebih serta melibatkan 40% daripada dagangan global bukannya mudah.

Ia menuntut keputusan yang penting dan kadang kala sukar, serta komitmen daripada seluruh anggota negara TPP termasuklah Malaysia, untuk menentukan standard yang tinggi. Isu ini akan turut dibincangkan dengan Perdana Menteri Najib nanti dan saya percaya kita akan dapat mencapai matlamat ini.

Tentang China dan Indonesia pula, memang buat masa ini mereka bukan sebahagian dari TPP tetapi kami telah pun menyatakan dengan jelas bahawa TPP pada akhirnya akan terbuka kepada semua ekonomi serantau yang bersedia untuk memenuhi standard yang tinggi.

Ini bermakna mengurangkan halangan kepada urusan dagangan dan pelaburan dan pada masa yang sama memastikan perlindungan yang kuat untuk tenaga kerja serta alam sekitar, juga padang permainan yang sama rata untuk syarikat-syarikat yang melabur apabila mereka perlu bersaing dengan syarikat milik negara dan perlindungan yang kukuh ke atas harta intelek. Kita ingin melihat dagangan dapat dilakukan secara bebas dan saksama yang menyaksikan setiap negara perlu patuh kepada peraturan yang sama.

SOALAN: AS telah memainkan peranan yang utama dalam usaha untuk menjejaki pesawat MH370. Jurucakap Inmarsat, Chris McLaughlin menyatakan, sejak tenggelamnya Titanic, undang-undang mengenai keselamatan nyawa di lautan telah diperkenalkan. Kita berharap perkara yang sama dapat dilakukan selepas tragedi MH370, bahawa semua pesawat harus sentiasa dapat dikesan. Komen Tuan.

OBAMA: Lawatan saya ke Malaysia merupakan satu peluang untuk saya sampaikan simpati kami semua kepada mereka yang terjejas akibat daripada kehilangan pesawat Malaysia MH370. Ini termasuklah kepada keluarga, rakan-rakan semua penumpang dan anak kapal. Ia adalah satu tragedi yang amat dahsyat yang menyentuh jiwa dan perasaan setiap lapisan masyarakat di seluruh dunia.

Sebagai sahabat dan rakan kepada Malaysia, AS adalah di antara negara yang pertama untuk turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat pesawat yang hilang itu. Aset Tentera Laut AS, pesawat dan kakitangan kami masih terus dalam usaha menjejaki pesawat berkenaan. Malah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), sedang bekerja rapat dengan Malaysia dalam siasatan berhubung apa yang menjadi punca kepada kehilangan pesawat itu. Dan AS akan terus menawarkan sokongan dan bantuan selagi usaha mencari dan menyelamat ini berterusan.

Apabila tragedi seumpama ini terjadi, kita juga turut mengimbau apa yang boleh kita lakukan untuk menghalang ia daripada berulang semula. Perbincangan tentang ini sudah pun bermula di Malaysia dan juga di seluruh dunia dan sudah pastinya kita akan melihat apakah bentuk penambahbaikan yang dapat disyorkan untuk meningkatkan lagi keselamatan penerbangan.

Satu perkara yang sudah pun jelas ialah, operasi mencari sebesar ini di peringkat antarabangsa mendapat faedah hasil daripada kerjasama yang telah sedia ada di antara negara-negara. Lebih banyak kita meningkatkan sikap bekerjasama dan bersedia untuk bekerja bersama di antara negara, kita akan menjadi lebih bersedia ketika dan saat malapetaka dan krisis melanda.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.