Selasa, 29 April 2014

MTES putuskan tarik balik catuan air S'gor

 

MALAYSIAKINI


Selepas tekanan demi tekanan, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) memutuskan menarik balik catuan air yang dilaksanakan negeri itu ekoran masalah kekurangan bekalan.

Perkara itu itu diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) yang dipengerusikan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim lewat petang semalam.

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini, cadangan penarikan balik catuan itu terbit daripada mulut Khalid (bawah) sendiri.

"Khalid berkata keputusan itu adalah untuk rakyat Selangor," menurut sumber yang mengetahui tentang mesyuarat di pejabat MTES di Shah Alam lewat petang semalam.

Walaupun mendapat bantahan dari beberapa pihak yang menghadiri mesyuarat tersebut, Khalid dikatakan bertegas untuk mengakhiri catuan itu.

Keputusan itu sepatutnya diumumkan hari ini oleh exco Selangor Dr Abdul Yunus Hairi bagaimanapun ditunda kepada esok, selepas mesyuarat exco Selangor.

Tweet Khalid hari ini turut membayangkan perkembangan “positif” selepas hampir 2.9 juta pengguna bertahan hampir dua bulan sejak catuan diumumkan Mac lalu.

"Untuk makluman, pengumuman penting isu catuan air pada jam 2.30 petang ini akan ditangguhkan ke hari esok. Insya-Allah positif #DemiRakyat," tulisnya hari ini.

 



Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sebelum ini berkata, catuan tidak akan ditarik balik sehingga paras air di Empangan Sungai Selangor melebihi 55 peratus.

Bagaimanapun Khalid dikatakan membuat keputusan drastik dengan berharap paras empangan – kini 40.2 peratus – akan terus naik dengan bantuan pam bertekanan tinggi dan hujan sejak minggu lalu berterusan.

Mesyuarat exco minggu lalu meluluskan peruntukan RM10 juta bagi melicinkan operasi itu.

Jika gagal, bekalan yang ada sekarang hanya mampu bertahan 29 hari dan bakal menjurus kepada krisis yang lebih serius.

Empangan Sungai Selangor membekalkan 60 peratus keperluan air ke Lembah Klang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.