Selasa, 29 April 2014

Melayu Nazi mentertawa bomoh

FAISAL TEHRANI


 


Minggu lalu aku dijemput untuk hadir satu perbincangan intelektual secara tertutup anjuran sebuah kumpulan akademik yang teratas. Judul perbincangan itu adalah “Melayu-Islam dan Ancaman Masa Kini”.

Ramai yang mengomel bercakap tentang ‘ancaman’ liberalisme, Syiah, Ahmadiyyah, kumpulan universalis dalam kalangan pendukung hak asasi manusia, gerakan Kristianisasi, sekularis ala mendiang Karpal Singh dan bermacam-macam ‘ancaman’ yang belum pernah aku dengarkan.

Tanggapan awal aku adalah kumpulan ini adalah sejumlah ilmuwan yang sedang takut dan lemah lutut oleh sekian ancaman oleh pelbagai kumpulan, seolah-olah survival mereka dalam bahaya dan sangat berisiko.

Menurut mereka budaya Melayu Islam akan pupus dan terkorban jika mereka tidak bertindak dan bangkit melawan. Mereka mahu menyelamatkan Melayu yang sedang digigit dibaham pelbagai ancaman.

Salah seorang ilmuwan bertaraf profesor telah menyatakan dengan begitu tegas sekali: “Kembalikan maruah Melayu. Kita mesti kembalikan maruah Melayu.”

Salah seorang peserta kemudian, mungkin, untuk menarik lebih perhatian dari orang lain, atau untuk mencipta kelainan; telah menyatakan kebimbangan, dan mengungkit betapa industri bomoh adalah satu ancaman kepada Melayu Islam memandangkan terdapatnya beberapa insiden oleh Raja Bomoh yang didakwa menyebabkan Malaysia mendapat aib besar.

Menurut beliau lagi Melayu dianggap bangsa bodoh dan digelakkan seantero dunia lantaran tindak tanduk Raja Bomoh tersebut.

Walaupun aku tidak berminat dan tidak berniat untuk membela apatah lagi mempertahankan seorang bomoh dengan dua biji kelapa, bubu lukah, air dalam tempurung dan kayu sakti, aku akhirnya mengambil keputusan untuk bercakap dari mendiamkan diri.

3 penghuni asal Nusantara

Aku menjelaskan kepada hadirin bahawa rantau Nusantara ketika zaman prasejarah, menurut Profesor G De Sieveking terletak di bawah pengaruh budaya Hoabinhian.

Demikian tuanya Nusantara dan orang Melayu, Hamka dalam Sejarah Umat Islam ada memetik satu gagasan yang entah dari mana ia perolehi bahawa tanah Melayu telah pun disebut-sebut dalam naskhah tua sebuah buku Yunani Periploustes Erythras Thalasses.

Khabarnya Tanah Melayu atau sekarang Semenanjung Malaysia dirujuk sebagai Chryses yang bererti ‘negeri emas’. Kononnya Chryses juga disebut Chersonesos. Nama negeri-negeri sekitarnya seperti Barousai yang dikatakan bermakna Barus, Sabadebai yang ertinya Jawadwipa atau Andalas turut disentuh sambil lalu.

Kata Hamka, buku Yunani itu bertarikh 70 Masehi. Ia menambah, Protolomeus yang hidup pada sekitar tahun 150 Masehi juga telah menjelaskan lagi hubungan itu, sehingga menjadi lebih nyata Chryses adalah Tanah Melayu.

Buat seketika ahli kumpulan tersebut berasa seronok dan terjungkit punggung kerana itu buktinya Melayu telah wujud ribuan tahun justeru itu juga menjadi bukti Melayu adalah bangsa yang bukan calang-calang.

Dalam satu kesimpulan; bangsa yang superior dari bangsa-bangsa lain yang ada di sini. Seolah-olah mengesahkan kepala otak mereka yang Melayu adalah bangsa hos, dan bangsa-bangsa lain adalah bangsa penumpang.

Tatkala aku menatap muka-muka ‘Nazi Melayu’ yang berada di hadapanku itu aku menyambung dengan memberitahu mereka bahawa penghuni Nusantara yang asal dibahagi kepada tiga kelompok iaitu Negrito yang merupakan penduduk pertama di rantau ini dan mempunyai banyak persamaan dengan manusia di Afrika.

Kelompok kedua ialah Veddoid yang dikatakan mempunyai campuran bangsa Kaukasian di mana menghasilkan pula suku kaum Senoi, Sakai dan Kubu serta dapat dikenali berdasarkan ciri-ciri fizikal seperti rambut kerinting, bulu badan tidak begitu tebal dan warna kulit sawo.

Sementara kelompok terakhir ialah Palae Mongoloid atau Melayu yang dipecahkan pula kepada Melayu Proto yang mendiami kawasan pedalaman dan Melayu Deutro.

Percampuran kebudayaan

Pada waktu aku menerangkan darihal itu, aku dapat melihat riak kehampaan pada wajah-wajah ‘ilmuwan’ tersebut seolah-olah aku menyatakan bahawa Melayu asal-usulnya adalah dari beruk dan monyet.

Profesor yang dengan gah menyatakan “kembalikan maruah Melayu” sebentar tadi kelihatan mencebik sedikit dan menunjukkan gejala marah seperti bibirnya terketar, jari tangannya diketuk-ketuk di permukaan meja, cermin matanya digosok berkali-kali dengan hujung tudung dan ia mendesah-desah seperti pelakon porno Itali mendapat kenikmatan persetubuhan.

Ternyata bahasa badannya memberitahuku yang Melayu seharusnya bukan sakai dan jakun.

Tanpa berlengah aku memberitahu, dengan pandangan tepat ke matanya yang ‘keimanan’ Melayu paling awal dan dominan adalah dinamisme-animisme di mana kepercayaan terhadap Tuhan Yang Esa sudah ada tetapi dalam bentuk yang terlalu kabur.

Dalam masa yang sama dua bangsa manusia yang mempunyai peradaban tinggi iaitu bangsa Cina di Timur dan India di Barat telah menjadikan rantau ini kawasan lalu lintas perdagangannya dan ada yang menyinggah lantas terjadi percampuran kebudayaan secara sinkretis iaitu pelbagai unsur kebudayaan masuk bersatu sehingga sukar untuk dibezakan dan dipisahkan.

Aku menaburkan poin bahawa dinamisme-animisme bermakna kepercayaan adanya tenaga tidak berperibadi dalam diri manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, dan benda-benda.

Beberapa kepercayaan lain penghuni Nusantara pada zaman lampau antara lain adalah mempercayai jiwa dan roh dapat mempengaruhi kehidupan alam manusia.

Animisme ini membibitkan pemujaan dan perhambaan diri kepada kuasa yang berperibadi kerana orang berasa terikat kepada roh dan menyakini ia boleh mendatangkan nasib buruk atau nasib baik.

Kekuasaan alam

Ketika itu juga Melayu mempercayai magis dan religis. Magis adalah keyakinan adanya penguasaan terhadap tenaga ghaib dengan tindakan tertentu.

Sementara religis pula ialah pemujaan dan perhambaan diri kepada kuasa ghaib di mana manusia di sini mengharap perlindungan atau meminta sesuatu hajat kepadanya.

Antara jenis magis ini yang masih diwarisi orang Melayu tanpa disedari adalah magis analogis seperti membuka pintu ketika melahirkan anak dengan tujuan kononnya untuk memudahkan kelahiran, juga magis imitatif seperti menikam pisau pada jantung pisang untuk melukakan seseorang, ini termasuk juga magis bahasa di mana contohnya pawang dalam perburuan memanggil atau menyeru dengan pantun tertentu semangat atau jembalang rusa.

Ilmuwan yang ada di hadapanku mulai berkerut. Peserta yang menyatakan kekhuatirannya terhadap Raja Bomoh mulai menunjukkan wajah resah dan geram tidak semena-mena. Giginya diketap-ketap.

Tanpa membiarkan mereka tertunggu aku melanjutkan yang kepercayaan totemisme turut pernah menguasai kepercayaan awal penghuni rantau ini (orang Melayu).

Totemisme bermaksud mempercayai diri mereka berasal dari sebangsa haiwan atau tumbuh-tumbuhan atau antara mereka dan haiwan atau tumbuh-tumbuhan itu ada pergantungan nasib.

Justeru mereka menghormati haiwan atau tumbuhan tersebut sambil menganggapnya nenek moyang serta melarang ia dari dimakan melainkan pada upacara tertentu sahaja.

Kepercayaan lain yang turut diterima termasuklah Javadwipa iaitu pengagungan alam semesta seperti memuja dewi yang menguasai lautan Hindi di sebelah selatan Jawa iaitu Nyi Roro Kidul.

Ulama terkenal Hamka juga pernah menyebut hal yang sama iaitu sebelum kemunculan agama Buddha dan Hindu, rantau ini lebih mempercayai kepada kekuasaan alam.

Masa berleter telah tamat

Justeru timbullah pemujaan terhadap matahari, hujan dan roh nenek moyang sehingga menurutnya fahaman-fahaman dinamisme, animisme dan totemisme ini telah bercampur baur.

Waktu itu, tegas Hamka lagi sudah pun ada konsep Hyang atau yang paling berkuasa.

Siri kepercayaan tidak teratur ini lebih terurus kemudiannya bila tiba agama Hindu yang membahagikan semua tersebut kepada tiga jurusan iaitu Krishna (yang mencipta), Vishnu (yang memelihara) dan Shiva (yang merosak) sementara kedatangan agama Buddha pula menokok dari segi rohani dan jasmani di mana ajaran mengenai buddhi dan prakharti diketengahkan.

Seingatku juga, Hamka turut mengemukakan pandangannya mengenai kewujudan agama Hindu di rantau ini.

Menurut beliau kerajaan Hindu tua telah dijangka wujud kira-kira tahun 400 Masehi iaitu dua abad sebelum lahirnya Nabi Muhammad SAW, kerajaan tersebut bertapak di Kalimantan Timur iaitu di Kutai, di mana telah ditemui batu tercatat mengenai raja bernama Mulawarman dan huruf pada batu itu adalah bertulisan Pallawa yang menjelaskan ada hubungan kerajaan ini dengan kerajaan di India Selatan.

Sebuah lagi kerajaan di Jawa Barat bernama Taruma Negara dalam abad kelima (satu abad sebelum kelahiran nabi Muhammad SAW) pula dipimpin raja Purnawarman.

Lain-lain kerajaan yang diketahui oleh ahli sejarah adalah Sriwijaya, Sambojaya, Langkasuka dan Kataha, Sailendra, Kalinga dan Mataram, Kediri dan Singasari, Majapahit, Darmashraya, Aditiawarman dan Pagarruyung.

Kerajaan Hindu paling akhir menurut Hamka ialah Majapahit di mana ketika itu rajanya ialah Kartarajasa (1292-1309), di mana pada masa yang sama kerajaan-kerajaan Islam sudah mula bertapak kukuh di Pasai.

Profesor yang ingin mengembalikan maruah Melayu Islam cuba mencelah kerana barangkali resah mendengar kata Hindu dan Buddha berulang kali sedangkan yang harus didiskusikan ialah Islam.

Aku menolak permintaannya untuk menyampuk, aku mengatakan yang tatkala mereka berleter aku telah bersabar, dan kali ini giliranku tiba.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.