Oleh Mohammad Fahmi Ahmad Kashfi
Anak-anak yatim, fakir miskin dan OKU
Kewujudan insan-insan ini sering dipandang sebelah mata oleh masyarakat. Umumnya mereka mendapat bantuan daripada kerajaan, zakat daripada jabatan agama Islam dan sumbangan daripada ahli korporat, namun ianya hanya bermusim.
Golongan ini dilihat mewah ketika menjelang bulan Ramadan, banyak jemputan ke majlis berbuka puasa, sumbangan untuk menyambut Syawal serta banyak lagi program-program ‘one-off’ yang dibuat.
Situasi di atas adalah sedikit gambaran kemungkinan yang berlaku dalam masyarakat kita.
Saya melihat masyarakat kita sudah membuka mata seluas-luasnya terhadap golongan sedemikian.
Semakin banyak pihak yang tidak berkepentingan turun membantu demi menunjukkan rasa tanggungjawab mereka terhadap insan-insan ini.
Walaupun sesetengah pihak tidak mendapat sebarang habuan, namun mereka masih sudi bekerja demi membantu masyarakat sekeliling.
Sebaik-baik manusia ialah yang memberi manfaat kepada orang lain
Semangat aktivisme golongan muda haruslah disalurkan pada jalan yang sepatutnya.
Idea-idea mereka diharapkan dapat memainkan peranan terhadap pembangunan masyarakat khususnya dan negara umumnya.
Lambakan NGO, kelab dan persatuan menunjukkan masyarakat kita mulai serius untuk mengejar status ‘negara impian’.
Negara impian yang dimaksudkan ialah suatu masyarakat majmuk di bawah pimpinan yang adil dan saksama, tiada korupsi dan masyarakat yang tertindas.
Pembelajaran sepanjang hayat adalah satu usaha kerajaan untuk memastikan rakyat keluar daripada kepompong kejahilan.
Namun, aspek lain yang harus dilihat ialah kualiti dan hak sama rata setiap orang untuk mendapat pendidikan sepanjang hayat.
Sebilangan golongan yang tercicir untuk menyambung pelajaran adalah golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).
Kemudahan fasiliti yang tidak mesra OKU menyebabkan golongan ini memilih untuk tidak menyambung pelajaran.
Mungkin kerajaan boleh menimbangkan idea untuk membina sebuah pusat pengajian tinggi khas untuk golongan OKU, autisme, disleksia atau menambah baik infrastruktur sedia ada supaya lebih mesra golongan istimewa.
Selain itu, golongan miskin juga sering dinafikan hak mereka di dalam pendidikan.
Hampir semua perkara di dunia ini mengguna pakai konsep ‘money based’, setiap perkara mestilah berasaskan wang, jika tidak ia tak mungkin berlaku.
Walaupun segala yuran ditanggung kerajaan, bantuan pengajian diberikan, biasiswa dihulurkan, namun wang masih menjadi punca sesetengah orang untuk tidak menyambung pelajaran mereka.
Saya masih menanti dan berharap idea-idea tentang pendidikan percuma untuk setiap rakyat dibincang secara serius dan dilaksanakan.
'You’ll find your happiness when you find your purpose'
Bahagia adalah suatu yang sukar didefinisikan.
Ia mungkin memberi seribu maksud kerana setiap manusia mempunyai pandangan yang berbeza tentang kebahagiaan.
Begitulah juga dengan masyarakat ‘terpinggir’, pemahaman mereka tentang kebahagiaan sukar untuk didefinisikan kerana kita tidak melalui perit jerih yang melanda mereka.
Hakikatnya, tidak akan wujud istilah masyarakat ‘terpinggir’ andai kita tidak melihat mereka sebagai suatu beban, tetapi sebagai suatu tanggungjawab.
Maka akan lahirlah sebuah masyarakat madani di bawah ‘negara impian’. –
* Penulis ialah aktivis Mahasiswa TFTN daripada Institut Pendidikan UIAM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.