KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Polis digesa mengambil tindakan segera berhubung penyebaran gambar dan berita fitnah kononnya Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah meninggal dunia semalam.
Gambar yang tersebar di facebook dengan nama pemilik ‘Blue Wave Army’ itu memaparkan wajah Wan Azizah dengan memakai cermin mata berada di dalam balutan kain kafan putih.
Sekeping lagi gambar memaparkan tiga orang lelaki sedang memasukkan jenazah ke dalam liang lahad sambil diperhatikan orang ramai.
Kenyataan di facebook itu juga menyebut Wan Azizah sebagai ‘isteri kedua ketua pembangkang’ dan menggelarkannya sebagai ‘mujahidah bangsat’.
Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang (AMKPP) mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah tersebut.
“AMKPP mengutuk tindakan pemilik akaun facebook dengan nama ‘Blue Wave Army’ yang menyiarkan berita fitnah bergambar tentang kematian YB Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail semalam.
“AMKPP akan membuat laporan polis bermula hari ini,” kata Ketuanya, Dr Afif Bahardin dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut mendesak pihak polis memandang serius fitnah ini dan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang memuat naik serta menyebarkan berita palsu dan fitnah yang berniat jahat itu.
“Jika suspek yang dipercayai memuat naik gambar mayat Datin Seri Rosmah Mansor tempoh hari boleh dikenakan tindakan segera, AMKPP menggesa PDRM melakukan tindakan pantas yang serupa.
“Buktikan bahawa PDRM tidak melakukan langkah pencegahan terpilih dalam memerangi jenayah,” tegas Dr Afif.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.