Oleh Syed Mu'az Syed Putra
SHAH ALAM: PAS Selangor tetap akan 'bersaing' bagi mengisi jawatan Menteri Besar sekiranya PKR bertindak menggugurkan penyandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk merombak kepimpinan kerajaan negeri Pakatan Rakyat itu.
Bagaimanapun Setiausaha PAS negeri Mohd Khairuddin Othman mengesahkan
perkara itu di sebalik spekulasi yang terus membara mengenai jawatan MB
susulan pilihan raya kecil Kajang.
"Ya, itu berlaku kalau ada kekosongan (jawatan Menteri Besar).
"Jadi setakat ini sudah tiada apa-apa isu lagi," katanya kepada Antarapos.
Tambah beliau, pertukaran jawatan Menteri Besar kemungkinan besar tidak
berlaku selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang yang baru
Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dikatakan menolak hasrat PKR itu.
Desas-desus perubahan pemimpin utama kerajaan negeri hangat
diperkatakan selepas Wan Azizah yang juga Presiden PKR memenangi kerusi
DUN Kajang menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei
Fen dalam pilihan raya kecil yang diadakan pada 23 Mac.
"Sebab rasanya sebelum ini Datin Seri Wan Azizah ada buat kenyataan tidak akan ganti Menteri Besar.
"Jadi kita pun tidak ada apa-apa yang baru setakat ini, kita kekal pada
yang ada," tambah Mohd Khairuddin mengulas hasrat PKR itu bagi
merealisasikan agenda 'Langkah Kajang' (Kajang Move).
Sebelum ini Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menolak
kemungkinan diadakan perbincangan mengenai kedudukan Wan Azizah sebagai
Menteri Besar menggantikan Abdul Khalid yang telah memegang jawatan itu
sejak 2008.
Untuk rekod, di peringkat awal PKR menamakan Anwar sebagai calon untuk
bertanding di kerusi DUN Kajang dengan tujuan Ahli Parlimen Permatang
Pauh menggantikan Abdul Khalid sekiranya menang dalam pilihan raya kecil
kawasan itu.
Namun keputusan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun
terhadap Anwar kerana didapati bersalah dalam kes liwat, memperlihatkan
beliau kelayakan bertanding.
PKR kemudian menamakan Wan Azizah sebagai calon pengganti beberapa hari
sebelum hari penamaan calon DUN Kajang untuk bertanding dan
mempertahankan kerusi itu yang diwakili parti itu sejak 2008.
PAS tunggu perkembangan terbaru PKR
Menurut Mohd Khairuddin lagi, PAS Seangor tidak membuat sebarang
pertemuan atau perbincangan mengenai perkara itu kerana mahu menunggu
perkembangan daripada PKR terlebih dahulu.
"Tak ada, tak ada...setakat ini tiada lagi apa perbincangan.
"Dalam mesyuarat kita pun tak dibangkitkan, tiada siapa yang bangkitkan lagi isu itu.
"Kita tunggulah daripada komponen tapi setakat ini tidak ada apa-apa lagilah," katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras ini bagaimanapun menerima
baik kehadiran Wan Azizah sebagai wakil rakyat negeri itu sambil
menyifatkan ia memberi nilai tambah kepada kekuatan Pakatan.
"Memang saya nampak kemasukan presiden PKR sebagai ADUN di Selangor akan memberi nilai tambah kepada kekuatan kita di sini.
"Kita nampak presiden PKR boleh memainkan peranan untuk mengukuhkan lagi Selangor," katanya.
Ujar Mohd Khairuddin lagi, sebarang perkembangan mengenai masa depan
negeri itu serta kedudukan Menteri Besar kemungkinan berlaku selepas Wan
Azizah mengangkat sumpah sebagai ADUN Kajang tidak lama lagi.
"...yang lain kita tunggulah beliau (Wan Azizah) angkat sumpah.
"Saya harap beliau boleh membantu kekuatan Menteri Besarlah, maknanya
presiden PKR ini boleh memperbetulkan apa-apa kelemahan di Selangor
sebab ada banyak isu di sini.
"Saya harap kemasukan beliau boleh menyelesaikan banyak perkara di Selangor," katanya.
Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandangnya Lee Chin Cheh dari PKR
meletakkan jawatan secara mengejut pada 27 Januari lalu bagi memberi
laluan kepada Anwar bertanding dan dilantik sebagai Menteri Besar.
Namun hasrat PKR untuk melantik Anwar sebagai Menteri Besar pada
peringkat awal mendapat maklum balas negatif daripada PAS yang tidak
bersetuju selain bersedia menamakan wakil parti itu bagi mengisi jawatan
tersebut jika berlaku peralihan kuasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.