Khamis, 27 Mac 2014

MAS bukan harta benda Umno-BN




Oleh RAYUSA

 
TABLOID Britain, Daily Mail bertarikh 15 Mac lalu membuat spekulasi bahawa juruterbang pesawat MAS MH370, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, seorang “fanatik politik” dan “aktivis sosial yang lantang”. Di laman sosial pula telah tersebar bahawa Zaharie adalah ahli seumur hidup KeADILan.

Selepas Dato’ Seri Najib Tun Razak mengesahkan bahawa MH370 disyaki sengaja menukar laluan penerbangan, tiga anggota polis berpakaian preman dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menggeledah kediaman Zaharie di Shah Alam, juga 15 Mac lalu.

Zaharie didapati memasang simulator Boeing 777 di rumahnya. Gambar yang disiarkan oleh juruterbang berpengalaman itu di laman Facebooknya menunjukkan sebuah simulator dengan tiga monitor komputer.

Menurut sumber polis, pegawai-pegawai mereka hanya mencari beberapa bahan yang boleh membantu siasatan untuk mengesan MH370. Terlalu banyak masa dihabiskan untuk menyiasat dua komputer riba yang diambil dari rumah Zaharie. Walau bagaimanapun, polis gagal mengesan komputer riba peribadi Zaharie dan dipercayai dibawa ke dalam kokpit pesawat penerbangan ke Beijing itu.

Kata Najib, penyiasat mengesahkan pesawat yang dikesan oleh radar tentera adalah MH370 selepas komunikasinya mungkin dimatikan sebelum sampai ke pantai timur Malaysia.

Penyiasat, tambah Perdana Menteri, percaya seseorang di dalam pesawat tersebut sengaja menutup sistem komunikasi dan pengesanannya, membawa ia berpatah balik dan terbang selama hampir tujuh jam selepas ia dilaporkan hilang.

Sebagaimana yang didedahkan oleh Najib, MH370 mungkin berada di koridor utara, iaitu sempadan di antara Turkmenistan dan Kazakhstan sehingga ke utara Thailand atau di koridor selatan yang mengunjur dari Indonesia ke Lautan Hindi.

Polis turut memeriksa rumah pembantu juruterbang, Fariq Abdul Hamid selama kira-kira sejam sebelum beredar dengan sekurang-kurangnya dua beg kertas perang.

Terdapat spekulasi meluas bahawa Zaharie dan Fariq bertanggungjawab terhadap lencongan MH370 walaupun menurut Pemangku Menteri Pengangkutan, Dato’ Seri Hishammuddin Hussein, mereka tidak memohon untuk terbang bersama. 

Walaupun Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengatakan BN tidak pernah mengaitkan KeADILan dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim dengan kehilangan MH370, Dato’ Mahfuz Omar berkata ia berpunca daripada Najib yang boleh dianggap sebagai kesilapan.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu menyifatkan Perdana Menteri bertanggungjawab memberi “isyarat” kepada polis untuk menyiasat dan menggeledah rumah Zaharie. Tindakan itu, kata beliau, menyebabkan penyiasatan kini beralih sepenuhnya kepada juruterbang termasuk kru penerbangan yang didakwa ada kaitan dengan kehilangan MH370.

Tambah Mahfuz, kenyataan Najib dalam sidang media itu akan memberi kesan negatif kepada MAS dan banyak pihak akan hilang kepercayaan kepada sistem penerbangan kita. Lebih buruk, Najib bergegas keluar selepas membaca kenyataan dan tidak mahu menjawab soalan para wartawan. Tindakan tersebut amat dikesali dan menjadi persoalan.

Mahfuz turut mencabar kerajaan agar membuktikan benar atau tidak dakwaan beliau bahawa rundingan sedang diadakan di antara Menteri Luar dengan perampas MH370. Katanya, rundingan mungkin telah bermula kerana menterinya, Dato’ Seri Anifah Aman langsung tidak kelihatan pada sidang Dewan Rakyat sejak beberapa hari kebelakangan ini.

KeADILan mengaku Zaharie merupakan ahli parti itu, tetapi pemimpinnya meminta semua pihak tidak membuat spekulasi mengaitkan mereka dengan kehilangan MH370. 

Menurut Ketua KeADILan Cabang Subang, Sivarasa Rasiah, beliau mengenali Zaharie sejak juruterbang itu menyertai parti tersebut, 23 Januari tahun lalu.  Baginya, laporan Daily Mail itu langsung tidak merujuk mana-mana sumber. 

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Subang, tabloid itu mengaitkan Zaharie dengan mengetengah dua spekulasi yang tidak disahkan sebagai fakta. Pertama, mendakwa Zaharie menghadiri keputusan rayuan kes Liwat II Ketua Umum KeADILan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sehari sebelum menerbangkan MH370. Kedua, Zaharie dilaporkan lantang bersuara hal-hal sosial.

Zaharie, kata Sivarasa, sama seperti ahli-ahli parti politik lain. Dua fakta itu digunakan untuk menggelarnya sebagai “fanatik politik”. Kesimpulan tidak boleh dibuat kerana tiada bukti.

Naib Presiden KeADILan, Tian Chua pula berkata partinya tidak mahu terheret dalam polemik dan menuding jari yang dianggap tidak membawa manfaat. Katanya, tumpuan harus diberikan dalam usaha mencari MH370.

Tian Chua berharap semua pihak, terutamanya media dan parti-parti komponen BN menghormati keluarga serta penumpang MH370 dan tidak membuat terlalu banyak andaian yang akan menjejaskan siasatan, dan menyinggung perasaan ahli keluarga terbabit.

Tegas beliau, adalah tidak relevan untuk mengaitkan insiden tersebut dengan Anwar dan KeADILan, malah mendakwa maklumat yang disiarkan itu palsu dan hanya bersifat tanggapan tanpa bukti kukuh. Katanya, ia isu keselamatan MAS.

Daily Mail turut mendedahkan Zaharie didakwa berada di Mahkamah Rayuan, 7 Mac lalu untuk memberi sokongan moral kepada Anwar dan menyaksikan detik-detik hukuman lima tahun penjara dijatuhkan.

Selepas mahkamah berakhir pada jam 7 malam, Zaharie pulang ke rumah, dan dua jam kemudian bertolak ke KLIA untuk tugasan menerbangkan MH370 ke Beijing.

Masalahnya, beberapa blog dan pengendali laman sosial pro-Umno tanpa segan-silu serta mempedulikan perasaan isteri dan ahli keluarga Zaharie, terus mengaitkan dengan hukuman penjara terhadap Anwar sebagai punca kehilangan MH370.

Zaharie didakwa kecewa dengan hukuman itu dan cuba meluahkan perasaannya dengan melakukan sabotaj. Jika itu benar, adakah dia seorang yang tidak berfikir panjang kerana tindakan tersebut tidak mampu mengubah apa-apa, malah membahayakan nyawa penumpang, dan mengancam masa depannya sendiri?

Justeru, cadangan agar penapisan ketat perlu dibuat untuk memastikan hanya mereka yang menyokong kerajaan Umno-BN sahaja diambil berkhidmat dengan MAS adalah tidak bijak dan keterlaluan. Ideologi politik dan kelayakan bekerja adalah perkara berbeza.

Sesiapa sahaja yang layak boleh berkhidmat dengan MAS tanpa mengira anutan politik. Zaharie tidak wajar dituduh mensabotaj MH370 kerana perbuatan tersebut membahayakan bukan sahaja orang lain, malah diri sendiri dan mengancam masa depannya. Tidak logik.

Bagi Setiausaha Agung KeADILan, Dato’ Saifuddin Nasution Ismail, laporan Daily Mail adalah khayalan luar biasa dan perkara terbabit mustahil berlaku kerana membabitkan nyawa ramai manusia yang tidak berdoa, selain satu teori konspirasi politik tidak logik walaupun Zaharie ahli seumur hidup parti itu.

Anwar juga berkata tidak wajar mengaitkan kehilangan MH370 dengan dirinya. Beliau menafikan kehilangan pesawat itu akibat kesedihan Zaharie ekoran keputusan kes Liwat II.

Pada mulanya Anwar menyangka MH370 hilang kerana juruterbang kecewa beliau dijatuhi hukuman penjara hanya sekadar gurauan. Rupa-rupanya ia tuduhan serius. Agensi-agensi media asing seluruh dunia mendakwa Zaharie begitu sedih dan bertindak melarikan MH370 kerana Anwar dihukum penjara lima tahun.

Jelas Anwar, kesedihan kerana beliau disabitkan bersalah dikongsi oleh jutaan rakyat Malaysia, bukan hanya Zaharie seorang.

Sementara itu, Aishah, anak Zaharie, menyifatkan spekulasi media antarabangsa yang mengaitkan bapanya dengan misteri kehilangan pesawat itu melukakan hati keluarganya.

Menurut laporan beberapa portal berita Australia, Aishah, 27, memberitahu rakan-rakannya bahawa spekulasi mengenai bapanya oleh media antarabangsa tidak benar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.