Khamis, 27 Mac 2014

BOMOH


Petikan 1, 2, 3 LEKUP HARAKAH 


 ARKIAN tersebutlah perkataan Raja Bomoh Sedunia.
Tiada ketahui sesiapa akan adanya ia sebelum ghaib kapal terbang kita.
'Top-top' meletup saja munculannya justeru tolong 'ngesan' akan 'ghaiban' si pesawat itu.

Akan bomoh itu adalah benda yang tidak pernah tidak dalam hidupan orang Melayu.
Selagi tidak hilang Melayu di dunia macam yang diramal Hang Tuah, adalah sang bomoh di sana dan di sini.
Tiada kira ia Banjar, Minangkabau, Bugis bahkan Melayu Peranakan, adalah bomohnya.
Tiada Melayu ia jika tidak bermomoh itu.
Akan tetapi tiadalah yang raja sekalian bomoh.
Rupanya Raja Bomoh Sedunia daripada orang Melayu.
Jantan hebatnya Melayu.

BUBU

Maka mencarilah semuanya akan kapal terbang yang ghaib itu.
Ada mengguna mereka itu radar. Ada mengguna teropong. Ada yang guna satelit dari langit.
Akan Raja Bomoh Dunia itu mengguna ia bubu, teropong buluh dan tikar terbang macam ada cerita dalam kisah 1001 malam.
Berkata bomoh, nampak ia pesawat tersangkut.
Ertinya jumpa ia. Tetapi ilmunya tak termasuk membaca peta dunia, tiada tahu ia tempat tersangkut.
Jika mengaji ia akan ilmu peta dan jalur garis lindang dan jalur membujur, mungkin jumpa ia.
Jantan kata saja.

MASYHUR

Atas hilang pesawat itu, jadi dua yang Malaysia masyhur setengah bulan lalu.
Pertamanya, kapal terbang yang hilang itu.
Jadi heboh semua TV dunia.
Jika ada TV di kutub, nescaya tahu orang Eskimo akan negeri Jantan.
Akan keduanya, si bomoh yang cari kapal terbang dengan bubu, tikar dan teropong buluh.
Masyhur juga negeri Jantan olehnya.
Meskipun dekat tamat Wawasan 2020 negeri Jantan, ada buluh kosong boleh nampak benda jauh dan radar dan satelit tak nampak.
Itulah yang dinamai ia transformasi.
Jantan informasi.

KARUT

Maka dalam ramai-ramai orang di negeri Jantan adinda Khairy Pak Lah saja yang kata karut saja ia dan bunyinya ada yang kata disuruhnya tangkap Raja segala bomoh itu.
Terasa Jantan bukan Khairy ini macam budak Temasik yang kata karut pada orang Singapura tahan betis pada todak yang melanggar.
Semua todak tak tuju betis. Ia tuju dada.
Disuruh itu budak bawa batang pisang.
Habislah todak lekat pada batang pisang.
Selamatlah Temasik daripada  todak. Akan tetapi dibunuh mereka akan budak itu.
Jangan Khairy senasib dengan budak Singapura itu sudahlah.
Jantan ho! Ho! Ho!

TAMPAR

Hendak menampar tok bomoh akan Khairy yang cabar itu.
Maka membalas Khairy, kalau Raja Bomoh tampar dia nescaya sekalian orang di negeri Jantan akan tampar tok bomoh.
Jika semua orang negeri Jantan nak tampar dia penyeklah ia.
Tak perlu tampar, sikit seorang 28 juta orang usik pun lembuklah ia.
Jantan kira malulah Khairy, ajak ramai-ramai orang tampar orang yang menamparkan.
Orang muda layaknya tampar seorang sama seorang.
Bomoh tak ajak orang lain tampar Khairy.
Dia seorang saja nak tampar Khairy.
Dia tu tua, Khairy muda.
Sanggup Khairy ajak semua orang tampar orang tua.
Jantan memalukan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.