Selepas menempa sejarah menjadi ketua menteri paling lama berkuasa, akhirnya Tan Sri Taib Mahmud meletak jawatan akhir bulan ini selepas 33 tahun menguasai bumi kenyalang.
Pun begitu, usaha parti beliau, Parti Pusaka Bumiputra Bersatu (PBB) mengusulkan agar Taib dilantik sebagai Tuan Yang Terutama (TYT) atau Gabenor Sarawak juga berkuatkuasa pada hari dan tarikh yang sama.
Persoalannya, mengapa Taib masih diperlukan sumbangannya walaupun sudah meletak jawatan sebagai ketua menteri?
Sekiranya Taib ditabal menjadi gabenor Sarawak, maka Taib sekali lagi mencipta sejarah negara di mana beliau merupakan tokoh pertama ketua menteri menjadi gabenor di negeri yang sama.
Persoalannya juga, apakah tuntutan ini datang daripada PBB atau Taib sendiri? Namun, sebagai presiden dan kuasa yang dimiliki setelah lebih 33 tahun, serta kestabilan politik yang dicapai maka Taib disuluh sebagai pemimpin yang berjaya.
Maka legasi kejayaan tersebut perlu kesinambungannya. Taib dan PBB menyedari peluang dan keperluan itu.
Di atas kertas, Taib selayaknya diletakkan di mana saja oleh PBB. Parti itu menang besar dengan memenangi 35 kerusi berbanding komponen BN lain seperti PRS (9),SPDP (6) dan SUPP (6) ketika Pilihanraya Negeri pada 2011 lalu.
Apa pun perbahasan dan usul di DUN Sarawak, PBB tetap akan peroleh majoriti. Hatta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pun tidak layak mengubah kehendak Taib dan tuntutan parti beliau.
Malah tuntutan Taib untuk menjawat jawatan TYT juga tidak memerlukan restu Najib.
Walaupun ada pihak menyatakan permintaan Taib untuk menjadi TYT bagi memeteri sedikit kekebalan beliau berhubung isu kekayaan beliau serta keluarganya.
Mungkin ada kebenarannya. Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Melaka, Tun Khalil Yaakob juga dulunya didakwa dengan salah guna kuasa berhubung kawasan pembalakan di Pahang. Setelah dilantik menjadi gabenor Melaka, isu dan kes tersebut hilang daripada media dan siasatan pihak berkuasa.
Justeru mungkin Taib cuba mengguna pakai formula yang sama.
Taib undur, Umno masuk
Fasal 4, Perlembagaan Umno menyebut "Perlembagaan Umno membenarkan seseorang warganegara Malaysia, Melayu atau Bumiputera, yang berusia 18 tahun ke atas memohon menjadi ahli."
Merujuk perlembagaan tersebut, tidak ada sebab mengapa Umno tidak boleh mengembangkan sayapnya ke Sarawak.
Sarawak mempunyai 27 suku kaum atau 27 kaum Bumiputra yang mempunyai potensi besar dapat menguatkan Umno semenanjung yang kini semakin tersisih.
Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri pernah membuat kenyataan bahawa Umno tidak pernah menutup pintunya kepada rakyat Sarawak yang memiliki status warganegara Malaysia untuk memohon menjadi ahli Umno.
Namun Dr Mahathir gagal. Sejarah juga memcatatkan bagaimana Taib 'mencantas' dua abang' (Abang Johari Haji Openg dan Abang Abu Bakar Mustapha) yang pernah cuba membawa Umno ke Sarawak ketika era Mahathir.
Di semenanjung, Umno pimpinan Najib semakin nazak. Najib perlu melakar sejarah dan menjayakan apa yang gagal dilakukan Dr Mahathir sekiranya ingin meletakkan beliau sebagai pemimpin Umno yang dikenang.
Lagipun setakat ini tidak ada satu ikon pun yang meletakkan beliau sebagai pemimpin negara yang berjaya.
Kejayaan 'menyunting' Sabah menerima Umno membuahkan hasil yang besar ketika zaman Dr Mahathir.
Justeru, Najib perlu menempa sejarahnya tersendiri. Kejayaan membawa Umno ke bumi kenyalang akan melakar nama beliau sebagai pemimpin Umno yang berjasa.
Taib sedar pengalaman Umno setelah bertapak di Sabah menukar pola kekayaan keluarga Tun Mustapha dan Haris Salleh kepada empayar Musa Aman.
Tindakan Najib inilah yang dibimbangi dan ditakuti Taib.
Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lalu mengeluarkan kenyataan bahawa Umno tidak akan memasuki Sarawak. Namun kenyataan tersebut dilihat sekadar menenangkan keadaan di saat proses peralihan kuasa sedang berlangsung.
Usaha Najib singkir Taib
Ketika kempen pilihan raya negeri pada 2011 lalu, kedudukan Taib sebagai ketua menteri yang terlalu lama dan kekayaan beliau menjadi isu dalam kempen oleh pembangkang seperti DAP, SNAP dan PKR.
Najib dan jentera BN pusat juga membuat catuan bahawa isu tersebut memungkinkan Sarawak akan jatuh ke tangan pembangkang sekiranya tidak diselesaikan.
Sedangkan Sarawak dianggap simpanan tetap BN dalam setiap pilihan raya umum.
Tertekan dengan isu tersebut, Najib sendiri dalam kempennya turut menyatakan kedudukan Taib tidak lama dan diberi tempoh selama dua tahun untuk digantikan.
Taib rasa tercalar dengan kenyataan tersebut. Taib dapat merasakan usaha pusat untuk menyingkirkan beliau bukan lagi bersifat berselindung.
Taib bertindak balas. Sejurus selepas SPR memastikan PBB mencapai kemenangan bergaya, tanpa mengadakan pertemuan dan bermesyuarat dengan Najib yang juga pengerusi BN, Taib bertindak mengangkat sumpah di hadapan TYT sebagai ketua menteri pada malam itu juga.
Tindakan ini tidak pernah dilakukan Taib sebelum ini walaupun hampir 10 penggal dilantik menjadi ketua menteri selepas pilihan raya negeri selesai.
Taib belum selamat
Sebagai Pengerusi BN Pusat, Najib juga rasa tercabar dengan tindakan Taib. Namun Najib tidak dapat berbuat apa-apa setelah menyaksikan parti pimpinan Taib mendominasi kemenangan besar.
Taib juga menyedari Najib tidak dapat berbuat apa-apa sebaliknya terpaksa akur dengan kekuatan serta pengaruh beliau di negeri kepulauan borneo itu.
Tindakan Taib 'menghalau' SPRM daripada menyiasat serta menganggap tindakan suruhanjaya tersebut menyiasat beliau sebagai 'tindakan nakal' adalah rentetan tindakan Najib yang dihidu Taib.
Kedudukan politik dan posisi Najib ekoran kegagalan mengurus tadbir ekonomi negara serta pemborosan perbelanjaan menyebabkan Najib terpaksa melupakan isu Taib seketika.
Secara sedar atau tidak, Taib juga menyedari retorik tranformasi Najib berhubung isu rasuah boleh dijadikan senjata Najib untuk terus menekan kedudukan beliau.
Dendam Najib tidak akan berkubur berhubung reaksi Taib menghalau SPRM menyiasat kekayaan Taib anak beranak.
Taib sedar Najib hanya menunggu detik dan masa untuk 'menelan' beliau.
Taib juga menyedari hasil Pilihan Raya Umum ke-13 lalu, BN kalah di semenanjung dan simpanan tetap di Sabah dan Sarawak yang menjadikan Najib berkuasa.
Sebagai ahli politik veteran, Taib dapat menghidu survival parti pimpinan Najib (Umno) sedang bertarung di hujung tanduk. Begitu juga komponen BN di semenanjung yang sedang menerima arus penolakan rakyat yang kronik.
Daripada segala senario yang ada, Taib membuat percaturan untuk meredakan ketegangan beliau dengan Najib untuk meletak jawatan sebagai ketua menteri.
Taib sedar ketiadaan beliau di DUN Sarawak akan membuka laluan untuk Najib dan BN pusat untuk membawa Umno ke bumi kenyalang tersebut.
Tindakan Taib menyerahkan jawatan ketua menteri kepada anak didik beliau, Adenan Satem serta kedudukan beliau untuk menjawat kedudukan TYT dilihat usaha beliau menghalang Najib dan Umno bertapak.
Manakala Adenan pula dilihat mampu menjadi 'boneka' Taib.
Dengan serampang dua mata yang dipasang seolah-olah Taib memberi mesej kepada Najib bahawa selagi Taib berkuasa selagi itu Umno tidak akan berjaya masuk ke Sarawak.
Sejauh manakah 'karamah sumpahan' Taib itu untuk terus bertahan masih belum diuji.
Pun jua, Umno juga belum pernah diuji kerana tidak pernah melebar pengaruh keahliannya di bumi yang pernah diperintah Raja Brooke itu.
Pada Najib, berdasarkan perlembagaan parti pimpinannya tidak mempunyai sebarang halangan untuk berlabuh di Sarawak.
Lagi pun hanya tinggal bumi kenyalang itu sahaja yang masih gagal dibolosi parti Najib.
Najib perlu mencipta sejarahnya kerana Taib berjaya mencipta beberapa sejarah termasuk kekayaan beliau serta keluarganya.
Atau, mungkin ada 'ole-ole' daripada bidalan ' I help U and U help me' di sebalik peletakan jawatan Taib dan pelantikannya sebagai TYT yang disepakati Najib-Taib.M/Insider
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.