MOHD NOR YAHYA
KOTA BHARU: Mengambil kira permintaan tinggi rumah kos rendah di Kelantan, kerajaan negeri hari ini melakukan pecah tanah membina 162 unit jenis berkenaan di Kampung Badang, Jalan PCB.
Rumah berbentuk aparment tersebut akan ditawarkan pada harga RM43,000. Projek berkenaan juga membabitkan pembinaan sebanyak 108 unit rumah kos sederhana dan 64 unit harga sederhana ditawarkan dengan harga RM99,000.
Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, projek itu dikendalikan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) membabitkan pembinaan sebanyak 334 unit.
“Sepanjang tempoh penggal ini kerajaan negeri memfokus membina lebih banyak rumah kos rendah memandangkan permintaannya begitu tinggi.
“Kerajaan akan memastikan mereka yang berpendapatan rendah dapat memiliki rumah tersebut,” katanya pada Pelancaran Program Rumah Mampu Milik Kelantan.
Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah, Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kob, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat, Adun Cempaka, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Ketua Eksekutif PKINK, Mohd Sabri Abdullah.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, rumah mampu milik juga akan dibina di Rantau Panjang dan Tumpat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.