ASLANI M
KOTA BHARU: Guru-guru pendidikan Islam, j-QAF dan Kafa diarah hadir ke program muzakarah isu-isu semasa anjuran Umno Bahagian Kota Bharu yang diadakan di Perhubungan Umno Kelantan semalam.
Arahan tersebut dihantar melalui surat kepada guru-guru besar ditandatangani Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kota Bharu, Mohd Ezani Awang.
Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, amat malang sekali surat arahan itu dikeluarkan seorang pegawai kerajaan yang cuba memperalatkan kakitangan awam bagi kepentingan Umno.
“Pemuda PAS Kelantan menuntut penjelasan dari PPD Kota Bharu dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) berhubungan arahan tersebut.
“Surat bertarikh 20 Februari itu ditujukan kepada guru besar sekolah-sekolah yang tersenarai di Kota Bharu. Ini satu penyalahgunaan kuasa yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum ini guru-guru pendidikan Islam terutamanya Kafa sering menjadi alat kerana diarah hadir pada program anjuran Umno.
Malah ada juga guru terbabit diarah menghantar nama-nama pengundi di kawasan mereka kepada pegawai di PPD.
Pada pilihan raya umum lepas seorang pegawai PPD Kota Bharu, Ustaz Mohd Fakrulrazi Abdul Rahim dicalon bertanding di Dun Bunut Payong mewakili Umno.
Ahmad Fadhli berkata, Umno sudah terlalu terdesak sehingga sanggup memperalatkan guru yang sudah terbeban dengan pelbagai tugasan untuk menghadiri program anjuran Umno.
“Pemuda PAS memberikan tempoh tiga hari kepada PPD Kota Bharu atau JPN Kelantan untuk memberi penjelasan.
“Sekiranya mereka mengambil sikap membisu, kami menganggap kebenaran surat tersebut dan kami tidak teragak-agak untuk menggerakkan bantahan lebih besar terhadap agensi terbabit,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.