Rabu, 29 Januari 2014

PM jumpa penyokong malam ini, bendung pemberontakan parti

THE MALAYSIAN INSIDER

 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka bertemu penyokongnya malam ini. Gambar fail.Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka bertemu penyokongnya malam ini. Gambar fail.  
































Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak malam ini memulakan langkah untuk mempertahankan diri daripada serangan pengkritik yang tidak henti-henti menyerangnya sejak bulan lalu selepas pemilihan Umno pada Oktober.

The Malaysian Insider difahamkan bahawa presiden Umno itu akan mengadakan pertemuan dengan ketua bahagian, pemberi pendapat dalam parti dan penyokongnya untuk menangani kritikan yang dilemparkan terhadap kepimpinannya oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Tun Daim Zainuddin dan beberapa veteran parti yang lain.

Najib dijangka menggariskan apa yang beliau percaya sebagai motif di sebalik semua serangan di ruang siber, hampir serupa dengan kempen yang akhirnya menyebabkan Tun Abdullah Badawi melepaskan jawatannya pada 2009.

Susulan daripada taklimat tertutup itu, pengikut setia Najib dijangka turun ke akar umbi dan menyebarkan pesanan PM untuk terus berjuang dan jangan menghiraukan sebarang kritikan.

Taklimat itu adalah tanda yang menunjukkan Najib dan barisan penasihat akhirnya menerima hakikat bahawa serangan bertubi-tubi dan berterusan terhadapnya adalah perkara yang serius serta memberi kesan terhadap pegangan kuasanya.

Najib dilantik sebagai presiden Umno bagi penggal kedua selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan parti dan hampir semua orangnya berada dalam Majlis Tertinggi Umno, tetapi itu tidak menghentikan kritikan yang menggunung mengenai kepimpinannya.

Tetapi, tidak ada bahaya yang mendesak menunjukkan Najib akan kehilangan kuasanya dalam parti atau Parlimen, walaupun wujudnya spekulasi menyatakan pengkritiknya mahu beliau meletakkan jawatan sebelum akhir tahun ini.

Mandat Najib sebagai presiden parti adalah sehingga 2016 manakala kerajaan pemerintah Barisan Nasional ada sehingga 2018 sebelum penggal tamat.

Langkah berdiam diri yang diambilnya terhadap serangan dalam parti dan di alam siber dilihat sebagai tanda kelemahan, hampir serupa dengan sikap “senyap bergaya” Abdullah ketika bekas perdana menteri itu dikutuk dan dilabelkan sebagai “Slumberjack”.

Orang kuat Najib yang juga Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mengarahkan pengkritik menggunakan saluran dalam parti untuk menyuarakan kegusaran dan tidak puas hati masing-masing.

Secara jelas pesanan itu ditujukan kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir yang sebelum itu mengeluarkan kenyataan potongan subsidi Najib akan memberi kesan kepada sokongan terhadap BN pada pilihan raya akan datang.

Bapa Mukhriz, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga mengkritik BN di bawah pentadbiran Najib dengan berkata gabungan itu lemah dan kerajaan sepatutnya memotong perbelanjaan, bukan subsidi.

Daim, bekas penasihat ekonomi kerajaan dan menteri kewangan, dalam satu mesyuarat tertutup di Umno Merbok, 10 hari lalu, turut berkata BN boleh kehilangan kerajaan jika pilihan raya diadakan pada waktu sekarang dengan polisi semasa BN terkini.

Perdana menteri juga menjadi bahan lawak di alam siber berhubung kenyataannya yang meminta rakyat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan apabila berlaku kejatuhan harga, bukan hanya tahu menyalahkan kerajaan ketika harga naik.

Sumber dalam Pejabat Perdana Menteri berkata pembantu khas Najib menuduh adiknya, ketua CIMB, Datuk Seri Nazir Razak berniat “jahat, serangan tertutup” terhadap abangnya menerusi artikel yang disiarkan sempena mengingati pemergian ayah mereka, Tun Abdul Razak Hussein ke rahmatullah pada 1976.

Dalam artikel yang disiarkan oleh The Malaysian Insider dan dua media lain, Nazir memuji allahyarham bapanya yang memegang sifat integriti dan langkah berjimat dan berkata, pemimpin negara patut kembali ke pangkal jalan untuk membangunkan negara.

Najib yang mula memegang tampuk kuasa pada April 2009 berjanji untuk berubah dan melaksanakan liberalisasi menerusi landasan 1Malaysia dan berkata, zaman “kerajaan tahu yang terbaik” sudah berlalu.

Tetapi, perubahan yang dilaungkannya menyebabkan BN kalah lebih banyak kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 dan ekonomi Malaysia merudum dengan ramalan global agak suram sehingga memaksa Najib memotong subsidi dan memperkenalkan cukai penggunaan untuk memastikan kadar kewangan yang positif.

Potongan subsidi dan gaji minimum mandatori serta peningkatan kos sara hidup datang serentak bersama serangan terhadap perdana menteri yang sering melakukan lawatan ke luar negara dan kegagalannya mengawal perbelanjaan awam.

Selepas teruk dikritik, Najib mengumumkan 11 langkah untuk berjimat tetapi pengkritik berkata, ia terlalu sedikit dan sudah terlambat hingga memerlukan Dr Mahathir kembali ke Putrajaya untuk memulihkan nasib Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.