KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) menyokong penuh tekad menjadikan Johor negeri utama menuju Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-14, melalui slogan ‘Johor Menerajui’.
Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ia diputuskan melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, 22 Januari lalu.
“Selaras dengan usaha itu, pemimpin pusat PAS, PKR dan DAP akan turun secara konsisten ke Johor, malah, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Mohamad Sabu akan melawat negeri itu pada Tahun Baru Cina ini.
“Saya sendiri berharap dapat melawat semua 26 kawasan Parlimen dan 52 Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, pemimpin DAP, antaranya Setiausaha Agung, Lim Guan Eng; Timbalan Presiden, Tan Kok Wai dan Naib Presiden, Teresa Kok serta pimpinan lain akan diberi tugas khas untuk membantu Pengerusi Negeri, Liew Chin Tong bagi mencapai misi itu.
Pakatan Rakyat Johor melancarkan misi ‘Johor Menerajui’ dalam satu kenyataan bersama Chin Tong, Pesuruhjaya PAS negeri, Aminolhuda Hassan dan Timbalan Setiausaha Agung PKR, Steven Choong.
Justeru, beliau mencadangkan tiga strategi bagi menjayakan matlamat itu iaitu menguatkan kedudukan Pakatan Rakyat di lima kerusi Parlimen dan 18 DUN yang dimenangi pada PRU-13, fokus kepada lapan kerusi Parlimen dan lapan DUN yang kalah tipis, serta jawatankuasa khas bagi merangka strategi di 13 kerusi Parlimen dan 26 kerusi DUN yang dianggap kawasan ‘selamat’ BN.
“‘Perang’ untuk Putrajaya dan Nusajaya (pusat pentadbiran Johor) perlu diadakan di semua kawasan Parlimen dan DUN, bukan sekadar berlawan, tapi untuk menang,” katanya lagi.
Masa sudah tiba untuk Impian Johor
Dalam pada itu, beliau mencadangkan agar Impian Johor dilancarkan bagi melawan unsur tidak bertanggungjawab yang cuba menimbulkan ketidakstabilan melalui polarisasi kaum dan agama.
Tahun lalu, DAP melancarkan Impian Sabah dan Impian Sarawak dengan menyediakan kemudahan asas di beberapa kawasan pedalaman negeri berkenaan.
Katanya, hubungan antara kaum dan agama yang dilihat semakin memburuk melalui beberapa peristiwa kebelakangan ini membuktikan betapa pentingnya ‘Impian Malaysia’ – tema yang merentas serta menyatukan seluruh rakyat Malaysia.
“Samada Melayu, Cina, India, Iban atau Orang Asal, kita adalah rakyat Malaysia, jatuh bangun bersama dan perlu menerima perbezaan dan kepelbagaian kita.
“Sudah tiba masanya Impian Johor sebagai komponen penting kempen Impian Malaysia dilancarkan untuk mengingatkan kembali bahawa kita di Johor dan Malaysia adalah satu,” katanya lagi. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.