KUALA LUMPUR, DAP akan meneruskan program Impian Sabah dan Impian Sarawak pada 2014 dengan 17 projek baru dalam masa empat bulan, kata Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua.
Berucap pada majlis kutipan dana dan penghargaan sukelawan projek itu di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya Sabtu lalu, beliau memaklumkan sebanyak 12 projek akan dijalankan di Sarawak dan lima lagi di Sabah.
“Projek ini meliputi kawasan yang luas. Untuk Sarawak, ia bermula di Bau (berhampiran Kuching) sehingga Limbang, betul-betul di sempadan Brunei. Ada pelbagai kawasan yang bagi kita di sini, adalah tempat yang cukup asing,” katanya.
Antara kawasan yang disenarai bagi Sarawak adalah Sungai Rassau (Sibu) dan Kampung Selampit (Mas Gading), manakala bagi Sabah adalah Kampung Pangi (Tenom).
Katanya lagi, projek masih membabitkan penyediaan kemudahan asas seperti sistem air graviti, jalan, pembinaan semula jambatan usang dan jeti baru (Sungai Rassau).
“Lebih menarik, ia tidak menelan belanja yang banyak. Kos untuk paip kurang daripada RM10,000. Manakala dengan RM125,000, kita dapat sediakan air bersih 24 jam sehari untuk penduduk Kampung Samparitan Laut.
“Jadi, sangat mengaibkan apabila wakil rakyat BN yang dipilih tidak dapat melakukannya selama ini,” katanya.
Program yang dilancarkan tahun lalu itu kini memiliki lebih 400 sukarelawan berdaftar.
Dalam pada itu, beliau turut menempelak sikap Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Maximus Ongkili yang memperkecilkan inisiatif DAP ketika awal pelancarannya.
Ahli Parlimen Kota Marudu itu dalam laporan menyifatkan usaha DAP hanya perkara kecil, kononnya kerana DAP memiliki banyak wang untuk berbuat demikian.
“Ketika kita lancarkan projek di Kampung Samparitan Laut, Ongkili kata ‘tiada apa yang istimewa, DAP parti kaya’ dan ‘BN pun boleh buat’. Ini datang daripada Ahli Parlimen di sana – jadi kenapa selama ini tak pernah buat.
“Beliau adalah Menteri Tenaga dan Air, tetapi kawasannya sendiri tiada bekalan air dan elektrik,” katanya.-Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.