KEADILAN DAILY
KUALA LUMPUR : Gerakan Media Marah (GERAMM) menyokong langkah pengamal media dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) mengadakan dialog baru-baru ini untuk mewujudkan piawaian kod etika kewartawanan negara.
“Dengan adanya kod etika bersama ini, media-media dan wartawan-wartawan juga akan sentiasa beringat pada sumpah profesionalisme mereka untuk berlaku adil kepada semua pihak.
“Jika menjadi kenyataan, piawaian bersama kod etika ini untuk semua organisasi media dan wartawan Malaysia akan menjadi sumber rujukan semua pihak, termasuk pengguna media, parti-parti politik, kerajaan dan anggota masyarakat,” kenyataan media GERAMM dipetik.
Pada 23 Januari lalu, satu pertemuan diantara pengamal media yang mewakili organisasi masing-masing dibuat dengan Suhakam.
Antara perkara yang diberi penekanan ialah tuntutan mengamalkan etika kewartawanan yang dianggap piawaian dunia demi memberikan liputan berimbang dan adil kepada semua.
Menurut GERAMM, kewujudan piawaian kod etika kewartawanan ini membolehkan rakyat Malaysia merujuknya sebagai landasan menilai laporan-kewibawaan laporan media di negara ini.
“Dengan itu masyarakat juga boleh memilih media-media yang dianggap beretika, adil dan berimbang,” tegas kenyataan GERAMM.
Dalam pada itu, GERAMM turut menyeru kepada semua organisasi media dan wartawan agar menyokong usaha mewujudkan kod etika kewartawanan yang piawai sebagai rujukan.
“Gerakan Media Marah (GERAMM) juga menggesa Suhakam menyiasat beberapa lagi kes pencabulan hak kebebasan media di negara ini misalnya dakwaan sekatan berita BBC berkenaan isu kangkung,” tegas kenyataan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.