DETIK DAILY |
Kartunis Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque (gambar) akan menghadiahkan sebuah buku kartun kepada tiga hakim Mahkamah Rayuan yang menolak kesnya hari ini.
Zunar ketika bercakap kepada The Malaysian Insider berkata, beliau akan cuba menyerahkan buku itu minggu depan sebaik saja buku kartunnya yang terbaru siap dicetak.
Zunar melahirkan rasa kesal ekoran tindakan tiga Hakim Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak samannya terhadap polis dan kerajaan yang merampas buku-buku kartunnya (Cartoon-o-phobia) pada 2011.
Susulan daripada tangkapan terhadapnya tahun lalu, Zunar menyaman polis dan kerajaan Malaysia.
Mahkamah Tinggi tahun lalu memutuskan tindakan polis menahan Zunar selama satu setengah hari di bawah Akta Hasutan adalah sah namun buku kartun yang dirampas polis tidak bersalah
Zunar kemudian membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan. Turut membuat rayuan adalah polis yang meminta Mahkamah Rayuan mengkaji balik keputusan Mahkamah Tinggi yang mengatakan bukunya tidak bersalah.
Dalam rayuannya, Zunar berkata, jika bukunya tidak salah, kenapa pula pelukisnya bersalah.
"Macam saya bawa pisang lalu polis tangkap saya. Mana boleh saya salah kalau pisang itu tidak salah," katanya.
Zunar berkata, polis sepatutnya merampas buku itu sahaja dan menyiasatnya sama ada ia bersalah atau tidak.
Bagaimanapun, katanya, polis tidak berbuat demikian kerana ketika tangkapan itu dibuat bukunya sendiri belum dikeluarkan.
Sehubungan itu, katanya, beliau mengambil keputusan untuk menghadiahkan buku kartunnya yang terbaru bertajuk "Pirate of The CaryBN" kepada setiap hakim Mahkamah Rayuan itu untuk membolehkan hakim memahami buku kartunnya.
Katanya, tindakan mahkamah hari ini seolah-olah mengesahkan tindakan kerajaan yang menjadikan akrtiviti menulis kartun adalah salah.
Hakim Mahkamah Rayuan, Abdul Aziz Abdul Rahim membaca keputusan panel tiga hakim terhadap rayuan itu. Dua lagi panel ialah hakim Mohd Arif Md Yusof and David Wong.
Zunar diwakili peguam Sivarasa Rasiah manakala Nor Mastura Ayob mewakili polis dan kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.