Oleh: Masdar Wahid
KUALA LUMPUR 30 Nov: Timbalan presiden PAS Mohamad Sabu menjemput semua parti politik termasuk Umno menghadiri mesyuarat untuk membincangkan ‘himpunan besar-besaran’ bagi memprotes pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).
Mesyuarat pertama katanya, diadakan awal Disember ini yang turut disertai pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), aktivis rakyat, pimpinan Mahasiswa dan setiap komponen Pakatan Rakyat.
Katanya, antara NGO yang mengesahkan kehadiran setakat ini termasuk 80 pertubuhan yang bernaung di bawah Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih).
“Isu GST, ketirisan kerajaan dan TPPA bukan isu orang politik, tetapi melibatkan semua orang sebab itu kita jemput semua termasuk Umno sekutu BN. Satu surat rasmi juga akan dikeluarkan dalam masa terdekat berhubung jemputan itu.
“Jika Umno berpandangan GST dan TPPA ini menjerut wang rakyat, kita berharap mereka hadir dalam mesyuarat itu kelak,” katanya menambah tempat dan tarikh sebenar mengenainya akan dimaklumkan kelak.
Pada 23 November lalu, Muktamar PAS meluluskan sebulat suara usul itu dengan parti Islam itu akan mengetuai himpunan berkenaan yang dijangka diadakan awal tahun depan.
Ia ekoran keputusan Datuk Seri Najib Razak semasa membentang Bajet 2014, yang mengumum pentadbirannya akan melaksanakan GST pada kadar enam peratus berkuakuasa 1 April 2015.
Sementara TPPA yang mendapat bantahan rakyat dijangka dimeterai awal tahun depan dan Najib sudah memberi lampu hijau kepada Menteri Perdagangan Dan Industri, Datuk Seri Mustafa Mohammed mengenainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.