Khamis, 28 November 2013

Isu Peguam Negara: Berdiam Diri Bukan Lagi Jawapan

shahbudindotcom.-


Pendedahan terbaru yang dibuat oleh bekas pegawai kanan polis, Mat Zain Ibrahim bahawa Peguam Negara, Gani Patail menerima sejumlah wang yang besar dalam transaksi yang berlaku di Hong Kong dalam kes kehilangan Pulau Batu Puteh, bukanlah isu yang boleh dipandang ringan. Tuduhan ini jelas membawa maksud bahawa Gani telah menerima rasuah dan kemudian membuat pembelaan yang lemah supaya pulau yang begitu strategik itu jatuh ke tangan Singapura.

Lebih-lebih lagi, Mat Zain membuat dakwaan ini bukanlah di tepi jalan atau melalui surat layang yang mungkin boleh ditafsirkan sebagai tuduhan tanpa bukti dan melulu, tetapi melalui akaun bersumpah yang jelas kewibawaannya. Beliau tentunya tidak akan membuat dakwaan sedemikian dalam akaun bersumpah jika tidak mempunyai bukti mengenainya.

Sebagaimana dakwaan melalui ucapan atau kenyataan dalam sidang akhbar pun terdedah kepada tindakan saman, membuat dakwaan dalam akaun bersumpah pastinya lebih mengundang risiko undang-undang yang lebih besar kiranya dakwaan yang dibuat itu palsu dan tidak berasas.

Oleh itu, sikap berdiam diri Gani Patail dalam hal ini bukanlah tindakan yang boleh diterima. Setelah sekian banyak tuduhan dan dakwaan dikaitkan terhadap dirinya, dakwaan beliau menerima rasuah sehingga mendorong kehilangan Pulau Batu Puteh ini adalah tuduhan yang serius dan memerlukan jawapan. Setidak-tidaknya beliau mengambil tindakan undang-undang terhadap Mat Zain.

Gani tiada alasan lagi untuk berdiam diri dan berharap segala dakwaan terhadapnya akan dilupakan seiring dengan peredaran masa. Berdiam diri hanya membuktikan beliau bersalah dan dakwaan Mat Zain mempunyai asas serta kebenarannya.

Begitu juga dengan Perdana Menteri, Najib Razak turut tidak boleh sekadar berdiam diri dan membisu dalam hal ini. Jika Gani mempunyai tanggungjawab untuk membersihkan namanya jika dakwaan itu tidak benar, Najib pula sebagai Perdana Menteri mempunyai tanggungjawab moral kepada rakyat dalam isu ini.

Sudah sampai masanya beliau bersuara dan menjelaskan kepada rakyat berhubung dakwaan rasuah yang melibatkan Peguam Negara ini. Membiarkan rakyat tertanya-tanya dan mempunyai persepsi yang buruk terhadap Peguam Negara bukan saja akan menyebabkan kewibawaan dan ketelusannya sebagai Perdana Menteri turut dipertikai, bahkan juga akan meletakkan negara dalam keadaan tidak lagi diyakini oleh rakyat.

Kalau pun Najib tidak mahu sampai mengambil tindakan menggantung tugas atau merehatkan Gani Patail, beliau sekurang-kurangnya bersuara untuk menyiasat kebenaran dakwaan rasuah yang dibuat oleh Mat Zain. Tambahan pula, akaun bersumpah tersebut turut juga dihantar kepadanya.

Memang tiada alasan, baik untuk Najib atau Gani terus berdiam diri dan membisu dalam hal ini. Jika Najib boleh menggelarkan rakyat yang tidak membayar cukai sebagai pengkhianat kepada negara, jika benar dakwaan bahawa Gani Patail telah menerima sejumlah wang yang besar sehingga menyebabkan Pulau Batu Puteh berpindah tangan, ini merupakan pengkhianatan yang jauh lebih besar lagi.

Bukan sikap pemimpin yang bertanggungjawab jika terus-menerus tidak bersuara dalam isu Gani Patail ini. Membisu hanya meletakkan Najib turut dikaitkan bersekongkol untuk melindungi Peguam Negara itu dan mungkin pula dikaitkan ada kepentingan dengannya.

Menerima rasuah dalam kes sekecil apa pun tetap dipandang hina dan jijik serta merupakan kesalahan dari segi undang-undang, dakwaan menerima rasuah oleh mereka yang memegang kitab undang-undang dan melibatkan kedaulatan negara pula tentulah jauh lebih hina dan jijiknya. Tidak ada rakyat yang boleh menerima perbuatan seperti itu.

Inilah masanya Najib membuktikan slogannya "kami mendengar", "rakyat didahulukan" dan banyak lagi yang indah-indah sebelum ini tidak sekadar slogan semata-mata. Sudah sampai masanya ia dibuktikan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.