Khamis, 28 November 2013

Apa perlu dilakukan Suhaizan Kaiat dalam tempoh 3 minggu?



Oleh Ahmad Syukri Ab Razab

 
Tulisan ini saya tulis berdasarkan kepercayaan teguh, bahawa PAS adalah Parti masa depan, yang berkuasa dalam menentukan halatuju Politik Malaysia. Perkembangan yang berlaku dalam Muktamar PAS baru-baru ini memberi isyarat jelas bahawa seluruh ahli PAS mahu melihat lonjakan di lapangan kerja kepemudaan.

MENGENAL POTENSI PEMUDA

Bercakap soal potensi Pemuda PAS Malaysia, saya kira semua orang sangat mengenali kekuatan yang dimiliki sayap terpenting PAS ini. Dengan susunan rekrutmen yang kemas, program-program tarbiah yang teratur, serta kerja buat akar umbi yang efisyen, menjadikan Pemuda PAS sentiasa memiliki generasi pelapis kepimpinan yang berkualiti.

Saya kira sudah banyak nama-nama anak muda dalam PAS yang mempamerkan potensi yang boleh dibanggakan. Pemuda PAS sudah miliki penganalisis politik muda seperti saudara Hasbie Muda, Pemuda PAS juga memiliki barisan Peguam Muda melalui Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM), Pemuda PAS juga memiliki tokoh ekonomi muda seperti saudara Syahir Sulaiman, Pemuda PAS juga ada dua tokoh Pemuda yang diberi kepercayaan oleh rakyat untuk menjadi wakil mereka di  Parlimen. 

Namun, polemik mengenai Pemuda PAS yang dilihat terpinggir dalam isu-isu nasional terus menjadi topik perbincangan sejak kebelakangan ini. Saya kira, polemik ini berlanjutan kerana Pemuda PAS tewas dengan sentimen yang membandingkan kepimpinan Pemuda PAS dengan ikon Pemuda yang lain seperti Rafizi Ramli, Khairy Jamaluddin, atau Pemuda-pemuda dari Parti lain. 

HEBAT SANGATKAH RAFIZI? 

Kita perlu akui yang sememangnya Rafizi Ramli merupakan Ikon Idea Baru untuk Malaysia. Tetapi, pada pandangan saya, Pemuda PAS sebenarnya tidak perlu ‘Stuck” atau terperangkap dalam sentimen “Ingin bersaing dengan Rafizi”. Terlalu banyak potensi lain yang ada di dalam Pemuda PAS yang boleh digarap untuk melonjakkan nama Pemuda PAS jauh kehadapan. 

Bahkan sekiranya dilihat dengan mata kasar, Pemuda PAS sebenarnya memiliki terlalu banyak kelebihan berbanding organisasi pemuda yang lain. Jika dilihat dari segi tenaga kepimpinan secara kolektif, Pemuda PAS memiliki banyak wajah pemimpin muda yang belum diketengahkan. Lebih unik, kepimpinan Pemuda dalam PAS ini lahir hasil daripada sistem tarbiah PAS sendiri. 

Jika dilihat pula dari segi kekuatan ahli, Pemuda PAS jauh dihadapan berbanding sayap pemuda parti-parti lain. Malah kekuatan itu sering ditumpang oleh parti-parti lain semasa Pilihanraya Umum. Tidak keterlaluan jika saya katakan, tanpa kekuatan ahli PAS, PKR mungkin akan lumpuh di beberapa kawasan semasa PRU 13 yang lepas.

Bukan setakat ahli yang ramai, Pemuda PAS juga memiliki ahli yang setia. Lihat sahaja program-program  PAS seperti Ijtimak Tarbawi yang dianjurkan di beberapa buah negeri, ribuan ahli PAS turun untuk mendengar amanat pemimpin parti. Begitu juga dengan himpunan-himpunan mega yang pernah berlangsung seperti BERSIH 3.0, sekiranya tidak ada arahan daripada pemimpin PAS terhadap ahlinya untuk turun ke himpunan tersebut, saya kira BERSIH akan kehilangan 40 % daripada jumlah pesertanya. BERSIH 3.0 contohnya, PAS Terengganu telah mengerah lebih 20 ribu ahlinya turun ke himpunan tersebut. 

JANGAN BAZIRKAN POTENSI

Maka, saya tidak faham, mengapa dengan kelebihan yang ada, Pemuda PAS masih dilihat tenggelam. Saya suka mengambil contoh CheguBard daripada Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM). Walaupun beliau daripada PKR, namun beliau membina kekuatan tersendiri yang menyebabkan beliau tidak tenggelam disamping pengaruh yang dibina Rafizi Ramli. 

Sebut sahaja Roadshow seluruh Malaysia, pasti orang akan menyebut CheguBard sebagai the best.
Sehinggakan perjuangan Badan Bertindak Bantah TPPA juga menggunakan khidmat CheguBard untuk memobilisasi isu tersebut ke seluruh Negara. Begitu juga dengan aksi di jalanraya, keberadaan CheguBard akan dirasai semua orang ekoran kemahiran beliau mengendalikan demonstrasi rakyat. 

CheguBard juga berjaya membina jaringan anak muda di bawah nama SAMM sehingga mempunyai cawangan di seluruh Negara. Bahkan jaringan ini bagi saya lebih hebat berbanding jaringan Angkatan Muda Keadilan (AMK) sendiri. 

Maka saya melihat, CheguBard telah berjaya membina reputasi tersendiri tanpa perlu terikat dengan sentimen ingin bersaing dengan individu tertentu. Saya percaya apa yang diterobosi oleh CheguBard, sukar untuk dilakukan orang lain termasuk Rafizi Ramli. 

Dengan memberi contoh CheguBard, saya tidak bermaksud Pemuda PAS perlu menjadi panglima di jalanraya. Apa yang cuba saya sampaikan ialah, Pemuda PAS perlu memaksimakan penggunaan segala potensi yang ada. 

BERANI TAMPILKAN MUKA BARU

Dengan potensi yang ada, saya kira Pemuda PAS boleh melangkah melangkau Rafizi dan CheguBard. Apa yang perlu ialah, Pemuda PAS perlulah memberi kepercayaan kepada kepimpinan Muda untuk tampil kehadapan. Tidak semua isu negara perlu ditanggung oleh Ketua Pemuda. Jika isu Felda, PAS meletakkan Mazlan Aliman sebagi pejuangnya, maka Pemuda PAS perlu berani melantik nahkoda-nahkoda muda untuk menerajui isu-isu yang banyak dalam Negara ini. 

Shazni Munir misalnya, Ketua Pemuda PAS kawasan Sekijang Johor, selaku mantan pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), saya kira beliau cukup kompeten untuk memimpin isu-isu yang melibatkan polisi Negara seperti GST dan TPPA. Persoalannya ialah, samada Pemuda PAS mahu memberi kepercayaan atau tidak? 

Maka saya kira Saudara Suhaizan Kayat perlu mengerah semula segenap potensi yang ada untuk meletakkan Pemuda PAS pada posisi yang sepatutnya. Kebelakangan ini, ramai tertanya-tanya apakah pembawaan sebenar Pemuda PAS?, Pemuda PAS tidak menjuarai perjuangan di Jalanraya, Pemuda PAS juga tidak menjuarai persaingan idea, Pemuda PAS juga tidak menjuarai persaingan di dalam Parlimen. Bahkan dikeruhkan lagi dengan isu seperti pertembungan Kerusi PRU13 Kota Damansara dan Sungai Acheh. Akhirnya, untuk tiga tahun yang lepas, Pemuda PAS dilihat sebagai liabiliti kepada PAS.

TERAJUI HAK ASASI ISLAM MELALUI JENDELA DEMOKRASI

Saya kira, saudara Suhaizan Kayat juga perlu menimbangkan untuk membuka lembaran perjuangan Hak Asasi dalam diari Pemuda PAS. Dalam arus global yang semakin rancak membincangkan soal Hak Asasi Manusia, Pemuda PAS perlu hadir dengan idea baru untuk membincangkan konsep hak asasi secara konstruktif. 

Sebelum ini, Pemuda PAS tampil garang dengan mengecam tuntutan Coalition of Malaysian NGO (COMANGO) yang ingin pengiktirafan hak LGBT dan beberapa tuntutan lain yang dilihat bercanggah dengan Islam. Namun pembantaian terhadap tuntutan NGO itu tidak diselangi dengan langkah penyelesaian yang tuntas. Akhirnya Pemuda PAS hanya mencipta ketegangan yang tidak langsung memberi imej positif kepada Pemuda PAS sebagai organisasi Politik dan Dakwah. 

Pemuda PAS perlu tampil sebagai sebuah organisasi penyelesai yang mampu menaungi perbezaan dalam kalangan masyarakat. Apakah mustahil untuk Pemuda PAS menganjurkan sebuah Persidangan Hak Asasi di peringkat nasional dengan menjemput semua organisasi berkepentingan bagi membincangkan prinsip Hak Asasi Manusia dari kaca mata masyarakat Malaysia. Walaupun tugas ini sepatutnya dimainkan oleh JAKIM, tetapi tidak salah untuk Pemuda PAS mendahului JAKIM.

Melalui Persidangan ini, Pemuda PAS bukan sahaja dapat membina kesepakatan mengenai perjuangan Hak Asasi di Malaysia, bahkan Pemuda PAS dapat menyelami rialiti masyarakat Malaysia yang selama ini terpinggir sehinggalah suara mereka diketengahkan oleh COMANGO, seterusnya mencadangkan jalan penyelesaian yang boleh disenangi semua pihak. 

JADIKAN BORNEO PRIORITI

Jika berbicara soal dakwah, Sabah dan Sarawak adalah medannya. Sangat rugi jika potensi ilmuan yang ada dalam kepimpinan Pemuda PAS tidak dimaksimakan untuk penyebaran pengaruh Pemuda PAS di Sabah dan Sarawak.

Pengalaman 24 tahun di Sabah termasuk 4 tahun di Labuan, saya sangat faham betapa perjuangan PAS di bumi borneo berhadapan dengan limitasi tenaga pendakwah dan pejuang. Dengan muka bumi dua negeri ini yang menyamai keseluruhan semenanjung Malaysia, sememangnya kerja-kerja parti memerlukan keazaman yang tinggi. 

Saya masih ingat rutin perjuangan mantan Ketua Pemuda PAS Sabah Cikgu Anuar Ali, yang sering mengembara dari Kota Kinabalu ke Sandakan dan Tawau. Kadang-kadang beliau melajakkan perjalanan ke Labuan walaupun Labuan bukan berada di bawah tanggungjawab PAS Sabah. Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Sandakan mengambil masa tujuh jam. Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Tawau pula mengambil masa 9 jam. Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Labuan mengambil masa 3 jam. 

Rutin ini perlu beliau lalui kerana kekurangan tenaga penggerak di Sabah. Oleh itu, saya mencadangkan kepada saudara Suhaizan Kayat untuk mewujudkan sistem Kawasan Angkat bagi setiap Ajk Pemuda PAS Pusat. Ulama Muda dalam PAS boleh menjadi pemudah cara kepada usaha dakwah di Sabah dan Sarawak. Sebagai contohnya, saudara Suhaizan Kayat sendiri boleh mengambil kawasan Menumbok di Sabah sebagai kawasan angkat. Begitu juga dengan Ajk Pemuda yang lain dengan kawasan angkat masing-masing.

Langkah ini bukan sekadar mampu menyemarakkan usaha dakwah Pemuda PAS, tetapi juga membina kebangkitan rakyat Sabah untuk memperjuangkan hak mereka yang telah lama diseleweng oleh Kerajaan Barisan Nasional.

MAJULAH PEMUDA PAS UNTUK MALAYSIA

Sekiranya ditanya kepada saya, apakah perkara yang perlu dilakukan oleh Suhaizan Kayat dalam masa tiga minggu selepas dipilih menjadi Ketua Pemuda PAS yang baru, maka saya akan katakan, Jumpalah rakan-rakan aktivis di luar kerangka PAS, terutamanya aktivis anak muda, dengar pandangan mereka.

Saya amat mengharapkan, saudara Suhaizan Kayat dapat menghimpunkan aktivis anak muda yang begitu ramai diluar sana. Selain nama-nama organisasi pemuda yang terkenal seperti SAMM, PKPIM, GAMIS dan sebagainya, masih ada nama kumpulan anak muda yang berjuang dengan cara mereka sendiri seperti Angkatan Pembebasan Bangsa Merdeka (APBM), Geng Kotak, Dapur Jalanan Kuala Lumpur dan pelbagai lagi kumpulan anak muda yang bercita-citakan perubahan. 

Menghimpunkan mereka bukan bermakna memaksa mereka bersetuju dengan cara Pemuda PAS, tetapi lebih penting mencipta kebersamaan yang selama ini dibazirkan. Kebersamaan ini boleh menjadi sumber idea kepada Pemuda PAS. Kebersamaan ini juga penting untuk menyatukan momentum bagi menumbangkan rejim yang masih berkuasa. 

Akhir sekali, dengan kekuatan Pemuda PAS Pusat yang baru ini, saya ingin menjadi orang pertama yang mengucapkan selamat tinggal kepada Barisan Nasional walaupun PRU14 masih jauh dihadapan.


Penulis adalah Mantan Pengerusi Majlis Politik Nasional GAMIS 2009-2010, Mantan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia 2010-2011. Sekarang bertugas sebagai Penyelaras Hak Untuk Dibicarakan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.