Khamis, 24 Oktober 2013

PKR usaha lonjak sokongan di kubu kuat Umno

KL TODAY


JERAI: Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul meletakkan sasaran peningkatan peratusan di lima daerah mengundi di Dun Sungai Limau yang menjadi kubu kuat Umno. PKR diberi tanggungjawab untuk membantu PAS menembusi lima daerah mengundi iaitu Unit Peti Undi (UPU) Selengkoh, Sungai Daun, Sungai Kering, Dulang Kechil dan Dulang Besar.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, PAS mengalami kekalahan di lima UPU tersebut.
Jelas Johari, PKR akan memastikan jumlah undi yang diperolehi pada PRU13 yang lalu dapat dikekalkan, dalam masa yang sama turut berhasrat mendapat lonjakan sokongan yang baru dari kelima-lima UPU tersebut.

“Saya merasakan itu bukan satu masalah dan saya yakin kita (PKR) mampu menembusi kawasan tersebut,” katanya.

Beliau yakin dengan kelemahan yang ada pada kerajaan BN Kedah sekarang dalam beberapa aspek melibatkan rakyat akan memberi kekuatan Pakatan Rakyat memenangi Dun Sungai Limau.

Katanya tindakan kerajaan menghentikan pemberian Skim Bantuan Khifalah kepada waris yang meninggal dunia dan juga Kolej Universiti, Insaniah (Kuin) akan mendapat perhatian daripada pengundi Dun Sungai Limau.

"Ini dianggap legasi Allahyarham Tan Sri Azizan Abd Razak tetapi pimpinan sekarang tidak melaksanakan apa yang dijanjikan sebab itu saya kira pengundi faham apa yang berlaku, kita PKR akan bawa isu ini secara konsisten.

“Yang kedua saya melihat setelah PRU13 tidak ada satu polisi yang boleh dikatakan besar diumumkan Menteri Besar Kedah, malah pelajar yang pergi universiti awam sebelum ini kita beri bantuan tetapi sekarang tidak ada lagi dan itu juga akan dipertimbangkan oleh rakyat,” sambung beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.