Isnin, 28 Oktober 2013

Menteri Kesihatan gesa KDN kawal kemasukan PATI kerana penyebaran penyakit berjangkit

OLEH DIYANA IBRAHIM





















Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam (gambar) menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengawal kemasukan pendatang tanpa izin (PATI) kerana pertambahan kadar penyakit berjangkit yang direkodkan di negara ini.
Menteri Kesihatan itu berkata, peningkatan penyakit seperti malaria dan tibi yang dahulunya berjaya dikawal menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini dan dikhuatiri akan menular kepada rakyat tempatan sekiranya tidak dibendung.

"Kita sendiri tidak tahu berapa jumlah sebenar tetapi anda boleh membuat perkiraan mengikut situasi sekarang,” katanya merujuk kepada PATI yang mempunyai penyakit berjangkit.



 "Namun apa yang kita boleh jangkakan kira-kira 7.8% daripada PATI ini menghidap penyakit berjangkit khususnya bagi mereka yang bekerja di Sabah," katanya dalam satu sidang media selepas melancarkan Program Seminar Pemeriksaan X-ray dianjurkan Uniteb Medic Sdn Bhd (Fomema) di Kuala Lumpur.


Tambahnya lagi, PATI tidak seperti pekerja asing yang mempunyai permit di mana mereka harus melalui pemeriksaan kesihatan sebagai prosedur untuk bekerja di negara ini.

"Ini menjadi masalah kerana bukan menjadi bidang kuasa kami untuk menahan PATI yang bekerja apatah lagi sudah tentu tentu tidak melalui pemeriksaan kesihatan.

"Kami hanya berkuasa memastikan pekerja yang mempunyai permit melakukan dua saringan pemeriksaan kesihatan dan sekiranya gagal, maka mereka akan dihantar balik ke negara asal,” katanya.

Pada Ogos lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Ahmad Zahid Hamidi meluluskan kemasukan 1.4 juta pekerja Bangladesh yang telah dipersetujui semasa Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjadi Menteri Dalam Negeri.

Menurut menteri itu, usaha membawa masuk pekerja Bangladesh demi menyelesaikan masalah kekurangan pekerja dalam sektor perladangan dan perkhidmatan.

“Kita menyasarkan 2,000 pekerja Bangladesh dibawa masuk setiap minggu atau 8,000 orang dibawa masuk setiap bulan.

“Selain itu, kita juga sedang memutihkan kira-kira 64,000 pekerja Bangladesh sedia ada di negara ini," katanya.

Beliau berkata, pekerja Bangladesh akan dibawa masuk melalui pendekatan kerajaan dengan kerajaan untuk mengelakkan peranan orang tengah dan eksploitasi pekerja asing.

“Kita turut mengadakan perbincangan dengan negara lain supaya pendekatan ini boleh diperluaskan ke lebih banyak negara, kita berharap ia dapat dilaksana dengan Indonesia dan Myanmar pada awal tahun depan," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.