Isnin, 28 Oktober 2013

KDN tarik balik arahan di Sabah, kata editor Herald

OLEH JENNIFER GOMEZ




Putrajaya telah membatalkan arahannya terhadap larangan pengedaran 2,000 naskhah mingguan Katolik, Herald daripada diedarkan di Sabah namun penerbit tidak boleh mengedarkannya ke gereja hari ini.

Menurut Editor Herald Father Lawrence Andrew, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah memaklumkan syarikat penghantaran bahawa Putrajaya telah memberi kebenaran untuk pengedaran pada pagi ini.

Namun, cuti hari ini menghalang agen penghantaran mengedarkannya ke gereja menyebabkan penganut Kristian tidak menerima Herald apabila mereka menghadiri perhimpunan di Sabah hari ini.



 “Ia akan diedarkan esok. Mereka ke gereja hari ini,” katanya.


Andrew berkata Kementerian Dalam Negeri perlu memberi penjelasan mengapa naskhah tersebut dihalang tempoh hari.

“Kami ingin tahu mengapa mereka menghalangnya,” katanya.

Keputusan menghalang pengedaran tersebut telah menimbulkan rasa kurang senang kepada ahli politik di Malaysia Timur yang mahu penjelasan Putrajaya atas arahan tersebut dibuat 10 hari selepas keputusan Mahkamah Rayuan.

Putrajaya telah memberi jaminan kepada Malaysia Timur bahawa mereka dibenarkan menggunakan kalimah Allah dalam usaha memastikan deposit tetap mereka di Sabah dan Sarawak terpelihara kerana ramai penganut Kristian di sana menggunakan bahasa Melayu dalam upacara keagamaan.

Namun syarikat penghantaran yang membawa masuk Herald ke Sabah pada Jumaat lalu diberitahu oleh KDN supaya tidak mengedarkan naskhah tersebut.

Gereja Katolik mencetak 14,000 naskhah Herald setiap minggu untuk kira-kira satu juta penganut Kristian dalam negara malah editor akhbar tersebut berkata kalimah Allah digunakan dalam edisi terbarunya hanya merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan 14 Oktober lalu.

Presiden Parti Reformasi Negeri (STAR), Datuk Dr Jeffery Kitingan meminta penjelasan daripada Putrajaya berhubung isu ini.

“Mengapa mereka mengenakan (larangan) itu ke Sabah juga? Mengapa kerajaan tidak konsisten dalam keputusan mereka? Mereka cakap tak serupa bikin,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Menteri Pembangunan Tanah Sarawak, Tan Sri Dr James Masing berkata, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mesti menjelaskan larangan terbaru itu kerana Putrajaya sendiri telah mengakui keputusan Mahkamah Rayuan tidak terpakai di Sabah dan Sarawak.

“Penjelasan perlu diberikan. Kita difahamkan kalimah Allah boleh digunakan di gereja dan penerbitan agama (mengandungi kalimah Allah) serta boleh diedarkan di Sabah dan Sarawak.

“Itu yang kita faham. Namun jika benar Herald telah dirampas di Sabah, kerajaan perlu memberikan penjelasan lanjut,” katanya.

Beliau berkata melarang pengedaran Herald di negeri Borneo membawa implikasi cukup besar iaitu melihatkan Putrajaya tidak memenuhi janjinya.

“Adakah keputusan mahkamah termasuk di Sabah dan Sarawak?” tanya beliau yang menunjukkan larangan terbaru ini melihatkan keputusan itu telah diluaskan ke dua negeri Borneo itu.

Katanya, kerajaan tidak mampu menjalankan pemerintahan dengan berkesan sekiranya tidak berpegang pada janjinya.

“Kerajaan mesti menjelaskan (alasan menghalang pengedaran) supaya orang ramai tidak terkeliru,” tegas beliau.

Sementara itu, Ketua PKR Sarawak, Baru Bian turut berpendapat yang sama.

"Cakap tak serupa bikin. Ini juga menunjukkan mereka tidak bersemangat melaksanakan keputusan mahkamah.

"Kenapa Herald dirampas sekarang? Jika sebelum ini tiada masalah Herald diedarkan, kenapa mahu merampasnya? Sangat malang perkara ini berlaku, " katanya.

Turut sama keliru dengan tindakan terbaru KDN adalah bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok.

"Saya tidak faham mengapa salinan Herald telah ditahan di Kota Kinabalu sedangkan Herald adalah sebuah penerbitan berlesen.

"Setakat yang saya tahu, lesen penerbitannya tidak pernah dibatalkan.

"Ia sama seperti mana-mana penerbitan atau akhbar lain yang melaporkan berita dan terma cetak atau nama, dalam kes ini perkataan Allah, supaya pembaca akan memahami isu ini."

Seperti semua, beliau juga mempersoalkan jaminan Perdana Menteri untuk menggunakan perkataan Allah dalam doa dan penerbitan di Sabah dan Sarawak.

Herald hanya diedarkan di Sabah dan Semenanjung menurut sumber Katolik di Kuching.

Gereja mempunyai akhbar mingguan iaitu Catholic Today, katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.